Categories: FeaturedGaya Hidup

Keistimewaan akan ditarik balik jika enggan bayar kos penginapan kuarantin wajib

Anggota keluarga warganegara Malaysia yang berstatus pemastautin tetap (PR) dan pemegang pas lawatan sosial jangka panjang yang baru pulang dari luar negara perlu menanggung sendiri kos penginapan kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya mereka enggan membayar kos penginapan hotel yang didiami sepanjang menjalani tempoh kuarantin wajib.

Gambar hiasan/ Kredit gambar: Malakat Tribune

“Seperti yang diumumkan sebelum ini, dasar kuarantin wajib kita adalah untuk warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara dan kos akan ditanggung Kerajaan.

“Bagaimanapun, pasangan mereka sama ada isteri ataupun anak yang berstatus pemastautin tetap dan juga pemegang pas lawatan sosial jangka panjang yang balik mengikut suami atau isteri yang turut dikuarantin wajib perlu menanggung sendiri kos penginapan hotel.

“Namun, terdapat dalam kalangan mereka ini yang enggan membayar kos berkenaan apabila keluar daripada hotel penginapan mereka, justeru itu kita sudah bincang dan membuat keputusan bahawa mana-mana pemastautin tetap atau pemegang pas lawatan sosial jangka panjang yang berdegil untuk tidak membayar kos hotel dan sebagainya akan dikenakan tindakan,” katanya.

Sehingga jam 8 pagi, 14 Mei 2020, sebanyak 231 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 229 pada hari sebelumnya yang mana seramai 14,496 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib. Difahamkan, seramai 416 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air semalam dan telah diarahkan kuarantin wajib.

Secara keseluruhan, seramai 33,807 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sudah menjalani kuarantin wajib sejak 3 April 2020 dan sehingga kini, 26,121 individu sudah selesai menjalani tempoh dan dibenarkan pulang.

Kredit gambar: Asia Newsday

Ismail Sabri berkata, mesyuarat jawatankuasa khas kabinet juga bersetuju untuk Jabatan Imigresen Malaysia mengambil tindakan terhadap individu yang tidak membayar kos penginapan berkenaan termasuk membatalkan kemudahan yang dinikmati oleh mereka selama ini.

“Kita tidak membatalkan PR atau pas lawatan, tetapi segala kemudahan dan keistimewaan yang diberikan oleh Jabatan Imigresen selama ini akan ditarik balik sehingga mereka membayar segala kos tertunggak mereka.

“Pejabat Peguam Negara juga akan meneliti perkara ini dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang sehingga mereka membuat pembayaran,” katanya.

Ad Ops