Categories: FeaturedGaya Hidup

Kuih Melayu tetap jadi pilihan Raja Yusniza walaupun lama menetap di luar negara

Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Itulah perumpamaan yang paling tepat bagi menggambarkan Raja Yusniza Raja Yusof yang kini bermastautin di Brockley, sebuah pekan kecil di tenggara London sejak beberapa tahun lalu.

Meskipun jauh beribu batu dari tanah kelahirannya di Besut, Kelantan, beliau sama seperti rakyat Malaysia lain yang kini sudah mula meriah dengan kegiatan membakar biskut untuk menyambut Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Walaupun sudah lama menetap di London, Raja Yusniza akui beliau tetap menggemari cita rasa Melayu seperti biskut kacang atau peanut butter cookies dan tart nanas yang jemnya dimasak sendiri.

Biskut kacang atau biskut peanut butter menjadi kegemaran Raja Yusniza sekeluarga setiap kali tiba Aidilfitri walaupun di luar negara. Foto kredit: Raja Yusniza Raja Yusof

Raja Yusniza berkata, setiap kali Aidilfitri tiba, beliau tidak terlepas menyediakan beberapa jenis lagi biskut seperti makmur, dahlia dan semperit, manakala untuk juadah berbukapuasa pula beliau akan bergilir-gilir menyediakan nasi kerabu, laksam, akok berkedut, kuih bakar, pengat pisang atau jemput-jemput yang sentiasa tidak jemu dimakan.

“Walaupun sudah bertahun menetap di sini, saya tetap suka makan kuih-muih dan masakan Melayu, mungkin kerana arwah emak dulu berniaga dan mahir menyediakan pelbagai jenis kuih serta lauk-pauk Melayu.

“Apabila tiba Ramadan sahaja, saya mulalah terfikir nak buat pelbagai juadah, walhal yang makan pun hanya saya dan suami, sedang anak-anak tidak begitu kisah dengan apa yang dihidangkan. Kadang-kadang mereka lebih suka makan roti dan pastri sahaja,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Raja Yusniza dan keluarga ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu di Brockley. Foto kredit: Raja Yusniza Raja Yusof.

Beberapa tahun lalu, Raja Yusniza yang bekerja sebagai Pengurus di sebuah kafe Melayu di Brockley membuat biskut untuk dijual kepada masyarakat Melayu sekitar London.

Bagaimanapun, berikutan keadaan semasa harga barangan sangat mahal dan tidak berbaloi untuk berniaga biskut raya atau kek, sebaliknya cukup sekadar dibuat untuk dimakan sendiri sahaja.

Beliau berkata, meskipun tidak lagi berniaga biskut raya, beliau tetap membuat kek dan biskut untuk diletakkan di kafe tempatnya bekerja.

Katanya, dengan cara itu tidaklah begitu merugikan beliau sekiranya tiada pembeli kerana boleh digunakan sendiri.

“Agak menggembirakan juga kerana orang kulit putih yang menjadi pelanggan kafe di tempat saya bekerja gemar menikmati kek pandan gula Melaka dan biskut mentega kacang. Mereka anggap kek pandan gula Melaka itu sangat unik.

“Saya juga menyediakan kek red velvet, kek mentega dan kek Victoria Sandwich sebagai pilihan untuk mereka, namun untuk kami sekeluarga di rumah, sudah semestinya menu Melayu tetap jadi pilihan,” katanya mengakhiri perbualan.

Raja Yusniza (empat dari kiri) bersama-sama rakyat Malaysia yang menetap di London meraikan Aidilfitri tahun lalu di rumah seorang rakan. Foto kredit: Raja Yusniza Raja Yusof.

Shaidah Shafie