Categories: Eat TravelFeatured

‘Laut terbelah’ tarikan terbaharu Langkawi dan ia hanya berlaku pada bulan ini sahaja

Langkawi mempunyai kisah legenda berpanjangan yang tersimpul rapi dalam sejarahnya. Tanya sesiapa sahaja di pulau itu mengenai kisah tragik seorang perempuan cantik bernama Mahsuri, dan anda akan mendengar sebuah kisah cinta, cemburu dan satu sumpahan yang telah dikenakan ke atas pulau ini olehnya selama tujuh keturunan.

Hari ini, generasi ketujuh penduduk Langkawi telah lama berlalu pergi, tetapi masyarakat di sini masih mempercayai bahawa kekayaan dan kesejahteraan yang dinikmati pulau itu kini dan sumpahan yang dikenakan bukanlah satu kebetulan.

Foto: Flickr

Mistisisme legenda ini boleh dirasai di banyak tempat di pulau ini, terutamanya di Makam Mahsuri (Mahsuri Mausoleum), tempat di mana Mahsuri disemadikan.

Tidak hanya kisah legenda itu, keistimewaan Pulau Langkawi kerana adanya beberapa tarikan alam semulajadi yang unik. Antara destinasi pelancongan yang popular, Kilim Geoforest Park, Pulau Dayang Bunting, pantai Chenang dan air terjun Telaga Tujuh.

Selain itu, pelancong boleh melihat pemandangan seluruh Pulau Langkawi dari puncak Gunung Mat Chinchang dengan menaiki kereta kabel.

Terbaharu, fenomena ‘laut terbelah’ yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini. Paling misteri, ia hanya terjadi setiap kali bulan purnama.

Tambah menyeronokkan, fenomena ini membolehkan orang ramai berjalan kaki sejauh 600 meter di atas beting pasir yang menghubungkan pantai ke pulau-pulau kecil di sekitarnya, akibat kejadian air surut.

Foto: Forum

Terdapat tiga lokasi di Langkawi yang mengalami fenomena tersebut setahun sekali iaitu Pantai Tanjung Rhu, Teluk Datai dan Pantai Chenang.

Ratusan pengunjung di Tanjung Rhu Resort Langkawi misalnya, berasa teruja apabila merasai sendiri pengalaman berjalan menyusuri beting pasir selama dua jam dan berpeluang melihat pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan sebelah, gamat, belangkas serta kuda laut.

Foto: Berita Harian

Foto: Malaysia Tourism

Disebabkan kini fenomena luar biasa ini semakin diketahui ramai dalam kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing, terdapat beberapa pihak terutama pengusaha resort menganjurkannya sebagai acara tahunan khas buat tetamu.

Bagi anda yang ingin merasai pengalaman unik berjalan di atas beting pasir sambil menyaksikan panorama indah pulau di sekeliling anda, bolehlah merancang percutian ke Langkawi atau mana-mana lokasi lain yang turut berlaku fenomena laut terbelah itu yang muncul setiap kali bulan purnama.

Foto: Bernama

Yanie Baharom