Categories: FeaturedGaya Hidup

Model hijab antarabangsa jual set tudung dan pelitup muka untuk bantu petugas kesihatan

Model Amerika Syarikat (AS) keturunan Somali, Halima Aden melancarkan set pelitup muka dan hijab yang menampilkan pelbagai corak menarik sesuai untuk wanita kontemporari.

Bagi inisiatif yang dinamakan #BandingTogether itu, Halima bekerjasama dengan majalah fesyen terkenal, Allure dan syarikat fesyen, Anywear bagi menghasilkan himpunan edisi terhad set pelitup muka dan hijab.

Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai rekaan pelitup muka yang disuai padan dengan hijab yang sama corak, malah hijab atau tudung yang dihasilkan boleh dijadikan bandana atau cekak rambut yang bergaya.

Menurut Harper’s Bazaar Arabia, sebahagian daripada jugalan setiap set yang dijual menerusi projek #BandingTogether itu akan disumbang untuk membantu petugas kesihatan di AS.

Halima yang menjadi model berhijab pertama menghiasi muka depan majalah Sports Illustrated AS berkongsi projek berkenaan dalam laman Instagramnya @halima, pada 14 Mei 2020.

Menerusi perkongsian itu, Halima berkata, beliau berharap projek berkenaan yang dilancar bagi membantu menyediakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan mendapat sokongan masyarakat.

“Saya amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada projek #BandingTogether dengan majlah @Allure dan @AnywhereDesign. Apabila anda membeli set pelitup muka dan tudung edisi terhad ini, @AnywhereDesign akan menyumbang set penutup kepala dan tudung PPE bagi doktor, jururawat dan petugas kesihatan.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti sejak penularan wabak COVID-19 ini,” tulisnya yang kini mewakli agensi peragaan antarabangsa, IMG Models.

Jenama Anywear turut berkongsi dalam laman Instagramnya, mengenai inisiatif istimewa itu. Berbeza dengan pelitup muka atau tudung yang ada di pasaran, set #BandingTogether itu turut mempunyai ciri istimewa, iaitu butang di sisi bagi memudahkan pemakainya menyangkut pelitup muka.

Dengan cara itu, pemakainya akan berasa lebih selesa dan tidak mudah luka apabila kerap disangkut tali pelitup muka terutama dalam jangka masa panjang.

Dalam laman sesawang rasmi syarikat itu, Halima turut berkongsi pengalamannya yang pernah bekerja sebagai petugas kesihatan di hospital sebelum menjadi model sepenuh masa.

“Saya pernah bekerja di hospital sehingga beberapa bulan pertama terbabit dalam bidang peragaan, justeru pembabitan dalam projek ini amat penting bagi saya.

“Seperti wanita berhijab lain yang pernah bekerja di pusat perubatan, saya ingin memastikan petugas kesihatan mempunyai pilihan yang lebih selesa untuk memakai pelitup muka sambil memakai tudung,” katanya.

Selain Halima, projek itu turut disertai pendandan rambut selebriti, Chris McMillan dan jurumekap terkenal, Danile Martin yang masing-masing menghasilkan rekaan bagi set pelitup muka dan hijab itu.

Set pelitup muka itu boleh didapati dalam laman sesawang bandingtogetherproject.com.

Fadzlena Jafar