Categories: FeaturedSihat

Janna Nick kongsi senaman mudah untuk kecilkan paha

Kebanyakan wanita Asia mempunyai masalah bentuk badan pir, iaitu kecil pada bahagian bahu, tetapi besar pada bahagian pinggul terutama paha.

Bentuk badan ini menyukarkan wanita untuk membeli baju di pasar raya atau butik kerana kebanyakan baju direka mengikut bentuk badan wanita yang biasa.

Bukan sahaja sukar membeli saiz blaus atau seluar yang bersesuaian, malah baju kurung juga pasti bermasalah. Jika bahu muat, pinggul pula sendat, tetapi jika bahagian pinggul muat, bahu pula terlebih besar.

Selebriti terkenal Janna Nick yang tinggi lampai juga mengakui menghadapi masalah berkenaan. Menyedari kekurangan itu akan membuatkan penampilannya tampak besar, Janna Nick mempelajari cara senaman yang mampu mengecilkan pinggul dan paha.

Baru-baru ini, Janna Nick berkongsi cara senaman mudah itu dalam laman sosial untuk dimanfaatkan wanita yang menghadapi masalah berkenaan.

“Antara masalah Janna ialah paha besar macam gajah. Selepas melakukan senaman ini, paha Janna jadi kecil. Ramai yang tanya Janna bagaimana Janna melakukannya.

“Janna hanya melakukan senaman mudah ini, tapi sejak Perintah kawalan Pergerakan (PKP), paha jadi besar balik. Oleh itu kena mula rajin bersenam, Tidak susah, tapi kena rajin,” katanya.

Berikut cara senaman mudah Janna Nick untuk kecilkan paha:

1. Senaman regang kaki

Tegakkan badan, angkat satu kaki dan regangkan kaki ke belakang sehingga selari dengan badan. Ulang sebanyak lima kali dan kemudian tukar kaki dan lakukan cara yang sama.

2. Senaman cara ‘anjing buang air’

Masih cara yang sama seperti senaman pertama, cuma kali ini angkat kaki ke sisi dan turunkan. Ulang senaman ini lima kali dan tukar kaki.

3. Senaman angkat pinggul

Bagi senaman ini, anda dikehendaki baring dalam keadaan terlentang dan perlahan-lahan angkat pinggul ke atas. Senaman ini dapat menegang otot perut dan paha.

4. Berjalan atas mesin treadmill

Buat permulaan, Janna Nick mencadangkan supaya mengguna kelajuan 3.5 sahaja dan gerakan condong tahap 15. Cara ini paling mudah untuk mengecilkan paha. Lakukan sekurang-kurangnya 20 minit.

Amalkan rutin senaman mudah ini yang hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sehari, anda akan nampak hasilnya dalam masa dua minggu.

Kredit gambar: Instagram @dini.dy_

Fadzlena Jafar