Categories: FeaturedGaya Hidup

MySejahtera Check In mula beroperasi 2 Jun ini

MySejahtera memperkenalkan aplikasi baru dinamakan MySejahtera Check In yang berfungsi membantu Kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19 dalam usaha menyelaras semula ekonomi negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata MySejahtera Check In adalah aplikasi di bawah MySejahtera yang akan mula digunakan di kawasan tumpuan ramai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini. Foto: Faisal Jaafar.

“MySejahtera Check In adalah aplikasi pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur dan berseragam ke premis perniagaan termasuk kilang, tapak pembinaan dan pejabat.

“Aplikasi ini juga berfungsi bagi membantu Kerajaan dalam pengawalan dan pengurusan jangkitan wabak COVID-19 ketika pengoperasian semula ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

BEKAITAN: Aplikasi MySejahtera, MyTrace bantu KKM kesan kontak rapat.

Penggunaan aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar memudahkan Kerajaan mengawal penularan COVID-19. Foto: Aswadi Alias.

MySejahtera yang dilancarkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 20 April lalu berfungsi memudahkan Kerajaan mengawasi penularan wabak COVID-19 dalam kalangan orang ramai.

Dengan aplikasi sama, orang ramai boleh melakukan penilaian kesihatan kendiri, mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk mendapatkan bantuan kesihatan serta tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti COVID-19.

MySejahtera Check In pula berfungsi membantu Kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan terutama dalam kalangan kelompok besar seperti di kilang, pasar raya atau pejabat.

Ismail Sabri berkata, orang ramai diminta memuat turun aplikasi berkenaan sebagai usaha menyokong Kerajaan menghentikan penularan wabak COVID-19.

Orang ramai diminta memuat turun aplikasi MySejahtera Check In untuk membantu Kerajaan menghentikan penularan COVID-19. Foto: Asyraf Hamzah.

“Kerajaan menyeru orang ramai untuk memuat turun aplikasi yang boleh digunakan bermula 2 Jun di premis besar seperti di tiga pasar raya AEON.

“MySejahtera Check In boleh dimuat turun daripada Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMA), Apple dan Google Playstore atau Huawei Apps,” katanya.

Sehinga 29 Mei 2020, seramai 770,216 individu sudah membuat pendaftaran dan 929,276 lagi sudah melakukan penilaian kesihatan secara kendiri.

Shaidah Shafie