Categories: FeaturedGaya Hidup

Nasib Archie, tiada kek pun untuk hari jadinya yang pertama!

Si kecil Archie Mountbatten-Windsor genap setahun pada 6 Mei lalu, namun tiada sebarang parti atau sambutan meriah diadakan bagi meraikan ulang tahun kelahiran pertamanya berikutan penularan COVID-19 di seluruh dunia ketika ini.

Sebaliknya, ibu Archie, Meghan Markle membacakan buku kanak-kanak ‘Duck! Rabbit’ bagi meraikan hari bersejarahnya itu, sementara Putera Harry merakam video berkenaan.

Video Meghan membacakan buku kanak-kanak kepada Archie itu dikongsi oleh penduduk Sussex di dalam akaun media sosial Save the Children UK, @savechildrenuk.

Tidak ada banyak percakapan pun antara Meghan dan anaknya, Archie yang masih terlalu kecil untuk menjayakan rancangan ibunya. Penyudahnya, Archie yang memakai baju berwarna biru itu hanya menggigit buku dan menyebut perkataan ‘bravo’ dalam bahasanya yang tersendiri sambil tersenyum kepada bapanya.

Sementara itu, penduduk Sussex yang juga menamakan kumpulan mereka sebagai Sussex Squad Planted menanam 111,500 pokok di serata daerah berkenaan bagi meraikan hari lahir Archie.

Abang Harry, Putera William dan isterinya, Duchess Catherine atau lebih dikenali sebagai Kate Middleton turut mengucapkan selamat hari jadi kepada Archie dengan membuat hantaran dalam laman media sosial @kensingtonroyal.

Putera Harry dan Meghan Markle meriba Archie di pangkuan bersama-sama keluarga Diraja Inggeris – gambar hiasan. Kredit foto: Instagram @meghanmarkle_official

Begitu juga dengan moyang Archie, iaitu Ratu Elizabeth yang menulis ‘selamat hari lahir kepada Archie Mountbatten-Windsor yang meraikan hari lahir pertama hari ini.”

Datuk Archie, Putera Charles pula membuat hantaran dengan menunjukkan gambar hitam putih Archie yang dipegang Harry ketika hari pembaptisannya.

Video Meghan dan Archie itu adalah sebahagian daripada kempen #SaveWithStories yang dilancarkan di Britain dan Amerika Syarikat bertujuan mengumpul dana untuk menyediakan makanan dan pendidikan terhadap kanak-kanak yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Menerusi video itu, Harry dan Meghan berharap dapat menggalakkan orang ramai membuat sumbangan kepada kempen berkenaan yang akan memberi faedah kepada organisasi Children and No Kid Hungry, selain kutipan yang diperoleh juga akan disalurkan ke tabung Save the Children UK.

Putera Harry dan Meghan Markle ketika Archie baharu dilahirkan – gambar hiasan. Kredit foto: Instagram @meghanmarkle_official

Video berkenaan mendapat maklum balas yang pelbagai khususnya dalam kalangan media dan rakyat Britain. Ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengeluarkan komen negatif termasuk mengatakan hubungan Meghan dengan anaknya dalam video itu tampak tidak semula jadi.

Meskipun Meghan berusaha keras untuk menarik perhatian media termasuk menggunakan anaknya dalam kempen berkenaan, Duchess of Sussex itu tetap dipandang negatif oleh pihak media terutama media Britain.

Kesian Archie, si kecil itu masih belum mengetahui apa yang berlaku terhadap ibunya, semoga dia tidak mengalami nasib yang sama seperti ibunya, tidak disukai rakyat Britain!

KREDIT FOTO: Instagram @meghanmarkle_official

Shaidah Shafie