Categories: FeaturedGaya Hidup

PDRM dan ATM buat rondaan ketika Hari Raya, siasat rumah yang langgar PKPB

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalankan rondaan di kawasan perumahan ketika sambutan Hari Raya nanti.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu bagi memastikan tiada pihak melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) ketika musim perayaan berlangsung.

“Mungkin ramai akan beranggapan pihak polis tidak akan mengawal rumah mereka, tetapi saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara bahawa polis akan menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan ketika Hari Raya nanti.

Gambar hiasan/ Kredit gambar: NSTP/Poliana Ronnie Sidom

“Pihak PDRM dan ATM juga bersetuju untuk bergerak sewaktu Hari Raya pertama dan seterusnya bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai Pelaksanaan PKPB, di Putrajaya, hari ini.

Pada 13 Mei lalu, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan larangan aktiviti rumah terbuka atau sebarang aktiviti ziarah ketika Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai.

Bagaimanapun, kelonggaran aktiviti ziarah dihadkan pada hari pertama perayaan dengan pelaksanaan SOP yang hanya membenarkan tidak melebihi 20 orang tetamu terdiri daripada ahli keluarga terdekat untuk setiap rumah bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19.

Gambar hiasan/ Kredit gambar: Oh Bulan

Ismail Sabri berkata, siasatan lanjut turut akan diadakan terhadap kediaman yang memiliki banyak kenderaan di halaman rumah.

“Polis akan meronda di setiap kawasan dan jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, polis akan menyemak kediaman yang berkaitan dan jumlah yang berada di dalam rumah berkenaan.

“Jika banyak kereta berkemungkinan ramai orang. Pihak polis akan menyiasat lebih lanjut lagi bagi mengenal pasti jumlah yang ada dalam rumah terbabit,” katanya.

Ad Ops