Categories: Eat TravelFeatured

Resipi pencuci mulut yang menggugat selera Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir

Resipi yang dikongsi di Instagram personaliti media sosial popular, Khairul Aming memang tidak pernah menghampakan. Apa sahaja yang dikongsi, pasti akan membuatkan 2.4 juta pengikutnya meleleh air liur.

Menerusi segmen ‘30 Hari 30 Resipi Sepanjang Ramadan’, jejaka itu berkongsi satu resipi menarik setiap hari sepanjang Ramadan. Segmen yang sudah memasuki tahun ketiga itu menarik minat jutaan pengikut setianya termasuklah selebriti terkenal tanah air antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Naim Daniel, pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat dan ramai lagi.

Kredit gambar: Instagram Khairul Aming

Baru-baru ini, Khairul Aming berkongsi beberapa jenis pencuci mulut yang cukup popular setiap kali bulan Ramadan iaitu air sagu gula Melaka, pengat pisang dan kuih onde-onde.

Selain itu, dia turut berkongsi resipi pencuci mulut yang cukup menarik iaitu Taiwanese Sweet Potato Balls. Menariknya, resipi itu berjaya memikat selera Siti dan Faizal Tahir yang turut meninggalkan komen di hantaran berkenaan.

Kredit gambar: Khairul Aming

Kredit gambar: Instagram Khairul Aming

Apa tunggu lagi, jom lihat resipinya:

Bahan yang diperlukan:

350 gram ubi keledek ungu
350 gram ubi keledek oren
3/4 cawan tepung ubi kayu (Nota: 3/4 cawan adalah untuk satu jenis ubi)
Air jika perlu
Air cincau
Kiub cincau
Susu cair

Cara penyediaan:

1. Rebus ubi keledek ungu dan oren sehingga empuk.
2. Lenyekkan ubi dan biarkan sejuk.
3. Kemudian, campurkan setiap ubi (asingkan mengikut jenis) dengan ¾ tepung dan air secukupnya sehingga menjadi doh. (rujuk video)
4. Uli dan gelek seperti keropok lekor sebelum dipotong kecil.
5. Taburkan sedikit tepung sebelum rebus untuk tidak bagi adunan melekat
6. Masak beberapa minit dan apabila sudah terapung, keluarkan dan letak di dalam air.
7. Untung menghidangkannya, ambil air cincau dan tuang ke dalam mangkuk berisi ais. Tambah kiub cincau, potongan ubi dan akhir sekali tuang susu cair.

Taiwanese Sweet Potato Balls sedia untuk dinikmati ketika waktu berbuka. Memang menyegarkan, selamat mencuba!

Ad Ops