Categories: FeaturedGaya Hidup

Ria Ricis YouTuber wanita Muslimah paling berpengaruh  di Asia Tenggara

Melihat penampilannya yang manis berhijab, anda pasti tertanya-tanya apakah yang dilakukan gadis ini sehingga beliau mampu mengumpul 10 juta pelanggan sekali gus melakar sejarah sebagai YouTuber wanita Muslimah pertama yang berjaya mencapai kejayaan itu.

Pencapaiannya itu meletakkan beliau pada kedudukan yang sama dengan rakan senegaranya, YouTuber Atta Halilintar yang sebelum ini diumumkan sebagai individu pertama di Asia Tenggara dengan jumlah 10 juta pelanggan.

Sebagaimana yang kita tahu laman YouTube boleh diakses pelayar di seluruh dunia, yang sebahagian besarnya masih memandang rendah terhadap Islam dan wanita berhijab.

Sebelum ini, personaliti dengan penampilan menjolok mata dan perkongsian kandungan program yang sensasi serta kontroversi, lebih pantas meraih perhatian penonton YouTube.

Oleh itu, pasti ramai yang ingin tahu bagaimana Ria Ricis berupaya membina nama sebagai antara YouTuber paling berpengaruh di Asia Tenggara.

Gadis berwajah cantik ini mula meraih populariti di YouTube Indonesia sejak tahun 2015. Terkenal dengan perwatakannya yang riang dan bersahaja, gadis berusia 23 tahun itu ialah adik kandung kepada pendakwah bebas, Oki Setiana Dewi.

Laman YouTube  Ria menjadi perhatian ramai kerana beliau sering memuat naik video temu bual ekslusif bersama selebriti terkenal Indonesia.

Lebih menarik, temu bual dilakukan di kediaman selebriti terbabit dan keupayaan Ria menembusi kehidupan peribadi golongan selebriti inilah yang membuatkan penonton YouTube ternanti-nanti kemunculan videonya.

Tidak terhad kepada selebriti, Ria Ricis juga diberi peluang untuk berkunjung ke rumah Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo.

Foto: MataMata.com

Sama seperti Atta Halilintar yang bernazar untuk membina sebuah masjid setelah mencapai 10 juta pelanggan, Ria Ricis pula pernah berjanji untuk membawa beberapa pelanggan bertuah untuk berangkat menunaikan umrah bersama-samanya tidak lama lagi.

 

Sumber: The Vocket

Sumber: YouTuber Ricis Official

 

Yanie Baharom