Categories: FeaturedSihat

Sakitnya telan air liur, ini cara merawat tekak perit dan sakit

Pernahkah anda mengalami situasi sejurus bangun daripada tidur, tekak berasa sangat perit ketika menelan air liur.
Sakit tekak bukan sahaja boleh menyebabkan ketidakselesaan berpanjangan, malah boleh bertambah buruk jika tidak dirawat dengan cepat.

Kredit gambar: Cosmo.ph

Punca sakit tekak boleh disebabkan oleh beberapa faktor antaranya selesema atau jangkitan sinus, tonsillitis iaitu jangkitan pada bahagian tonsil, jangkitan bakteria, difteria, jangkitan yis dan penyakit refluks gastroesophageal (GERD).

Terdapat beberapa komplikasi yang mungkin berlaku jika anda selalu mengalami sakit tekak ketika menelan seperti jangkitan pada bahagian dada, jangkitan bakteria atau virus yang lebih teruk, kehilangan deria rasa (secara kekal atau sementara), kesukaran untuk memalingkan kepala dan memusingkan kepala ke belakang serta pembengkakan pada bahagian kelenjar limfa di leher.

Kredit gambar: Medical News Today

Berikut merupakan cara yang boleh anda lakukan untuk menghilangkan sakit tekak. Rawatan yang diberi doktor bergantung pada punca dan penyebab sakit tekak itu sendiri.

1. Antibiotik – Sekiranya anda mengalami sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, doktor akan memberikan antibiotik sebagai preskripsi. Pastikan anda habiskan antibiotik yang diberikan oleh doktor walaupun jika anda rasa sudah sembuh.

2. Ubat – Sakit tekak yang disebabkan jangkitan virus biasanya akan sembuh dalam masa tujuh hari. Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi untuk jenis ubat yang sesuai bagi melegakan sakit tekak.

Kredit gambar: The Spruce Eats

3. Minum air – Minum banyak air untuk memastikan tekak sentiasa lembap, selain mengelak dehidrasi. Air suam adalah antara cara yang paling berkesan untuk menghilangkan sakit tekak. Anda juga boleh minum air lemon, air campuran madu atau teh halia untuk melegakan sakit tekak. Bagaimanapun, jangan beri madu kepada bayi atau kanak-kanak yang berumur kurang setahun bagi mengelak risiko botulism, iaitu sejenis keracunan makanan.

Cara lain yang boleh dilakukan adalah dengan mendapatkan rehat secukupnya, makan makanan sejuk seperti aiskrim, berkumur dengan air garam atau cuka epal, menggunakan humidifier atau alat pelembap udara dalam rumah dan elakkan diri daripada terdedah pada bahan penyebab alahan, bahan kimia serta asap rokok.

Kredit gambar: Stanford Children’s Health

Sekiranya gejala berkaitan sakit tekak bertambah teruk, dapatkan segera rawatan doktor. Bagi kanak-kanak, bawa mereka ke bahagian kecemasan kerana ia mungkin boleh membawa maut jika lambat mendapatkan rawatan.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Hello Doktor

Ad Ops