Categories: Eat TravelFeatured

Snek bawang mekar bak teratai ini curi perhatian ramai!

Pernahkah anda melihat hidangan bawang goreng mekar ini di restoran-restoran terkemuka?

Memandangkan bentuknya agak luar biasa, anda pasti rasa kagum melihatnya untuk pertama kali.

Rupa-rupanya senang sahaja jika anda teringin membuatnya di rumah! Anda hanya perlu memotong bawang  dengan cara yang disyorkan sahaja untuk mendapatkan bentuk teratai yang dikehendaki.

Yang menariknya, hidangan ini bukan sekadar bawang sahaja. Anda boleh menyelitkan kepingan keju kecil di celah-celah helaian bawang itu. Kombinasi ini pastinya akan menjadikan snek bawang teratai anda lebih sedap.

Nak cuba buat? Anda bukan sahaja boleh menikmati rasa bawang lembut yang disalut keju, tetapi anda juga sebenarnya akan membuatkan orang lain kagum dengan skil memasak yang anda miliki.

Jom ikuti tutorial Tasty di bawah.

Bahan

  • 3 biji bawang Holland, bersaiz sederhana
  • 1½  cawan susu
  • 2 keping keju mozzarella
  • 2 biji telur
  • 1½ cawan tepung serba guna
  • 1 sudu besar garam bawang putih
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam
  • 1 sudu besar paprika
  • Minyak canola, untuk goreng
  • Sos marinara, untuk cicah

Cara penyediaan

1. Kupas dan potong bahagian atas bawang. Letakkan bahagian yang dipotong tadi di bawah.

2. Dengan pisau tajam, bahagikan bawang ini kepada empat suku dengan jarak yang sama dan potong di setiap sisi. Tetapi hati-hati, jangan potong sehingga habis dan putus!

3. Kemudian untuk setiap suku bawang, buat dua lagi potongan. Pastikan jaraknya sama dan jangan potong sampai habis.

4. Terbalikkan bawang ini dan buka setiap lapisan bawang ini supaya ia ‘mekar’ seperti bunga teratai.

5. Lapiskan dua keping keju mozzarella di atas satu sama lain dan potong menjadi kepingan bersaiz ½ inci lebar. Kemudian potong separuh.

6. Letakkan sekeping keju kecil di antara setiap helaian kelopak bawang. Sejukkan bawang di dalam peti ais selama sejam.

7. Di dalam mangkuk sederhana (A), pukul sekali telur dan susu.

8. Di dalam mangkuk besar (B) pula, pukul sekali tepung, paprika, garam bawang putih dan serbuk lada hitam.

9. Letakkan bawang ke dalam mangkuk A dan pastikan setiap kelopak disaluti dengan campuran telur dan susu betul-betul.

10. Pindahkannya ke mangkuk B dan salutkan setiap kelopak dengan campuran tepung.

11. Ulangi langkah 9 dan 10 sekali lagi. Pastikan tepung betul-betul melekat pada bawang. Sejukkan di dalam peti ais selama 20 minit.

12. Panaskan minyak canola ke suhu 190ºC.

13. Dengan penyepit, masukkan bawang mekar ke dalam minyak selama 2 minit ataupun hingga ia bertukar menjadi warna perang dan rangup di setiap sisi.

14. Pindahkan bawang ke pinggan yang dilapik dengan tisu and biarkan ia meresap minyak selama  5 minit.

Dah siap!

Jika anda tidak pasti bagaimana mahu potong bawang mekar ini, ikuti cara yang ditunjukkan di dalam video. Selamat mencuba!

Ad Ops