Categories: familuvFeatured

Temui Chef Kobe, bayi comel berusia setahun yang menjadi sensasi Internet

Gordon Ramsay sila ke tepi, Chef Kobe kini pilihan peminat dunia masakan!

Jika anda peminat tegar program masakan, nama Chef Kobe kini pasti tidak asing lagi khususnya dalam laman sosial Instagram.

Menggunakan nama pena Chef Kobe, bayi berusia setahun yang tampil dengan identiti unik memakai topi chef berwarna merah kini menjadi sensasi Internet terbaharu apabila ‘program masakannya’ sentiasa dinantikan.

Penonton pasti tersenyum melihat video masakan bayi berkenaan terutama apabila menyaksikan aksi comel Chef Kobe membuat persediaan setiap hidangan.

Sebut apa sahaja, membuat doh piza, memasak pasta, membuat kek atau membuat ais kocak, semuanya sudah dilakukan dan pastinya membuatkan anda yang baru berjinak-jinak dalam dunia masakan, tersipu malu!

Bersesuaian dengan maklumat yang tertera pada akaun Instagramnya @kobe_yn, ‘Hi, I’m Chef Kobe, I like to cook & eat’ (Hai, saya Chef Kobe, saya suka memasak dan makan), bayi comel itu juga mencuit hati apabila sering kali memasukkan bahan yang sepatutnya digunakan untuk memasak, ke dalam mulutnya.

Sambil memasak, sempat lagi makan. Memang comel sungguh Chef Kobe!

Akaun yang mempunyai 63 hantaran itu kini sudah mempunyai lebih 602,000 pengikut dan dikendalikan ibu bapa bayi comel itu.

Meskipun dibantu ibunya sepanjang proses memasak, gelagat bayi berkenaan yang diberi peluang untuk memasukkan bahan dan mengacau adunan, amat menyeronokkan.

Menerusi hantaran terbaharu, Chef Kobe berkongsi cara membuat kebab nanas dan sebelum itu, si comel sensasi itu menyediakan bar cip coklat pisang vegan yang tampak sungguh menyelerakan.

Tindakan ibunya memasak dengan si kecil membuatkan Chef Kobe meminati sayur-sayuran.

Lebih menarik pada hujung setiap video, Chef Kobe diberi peluang mencuba masakannya. Gelagatnya apabila melihat ‘hasil masakannya’ pasti membuatkan anda ketawa.

Semoga Chef Kobe membesar menjadi jurumasak terkenal satu hari nanti!

KREDIT GAMBAR: Instagram @kobe_yn

Fadzlena Jafar