Categories: Eat TravelFeatured

Tengku Zatashah kongsi resipi French toast kegemarannya

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, ramai berkongsi aktiviti memasak dalam media sosial bagi mengisi lapang. Antaranya anakanda Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam hantaran di laman sosial Instagramnya, Tengku Zatashah berkongsi resipi membuat French toast yang tampak begitu  menyelerakan sehingga berjaya menarik perhatian ramai pengikut akaun baginda.

Berdasarkan perkongsian itu, Tengku Zatashah, berkata hidangan yang sinonim dengan Perancis itu antara hidangan kegemarannya sejak kecil lagi.

“Sarapan pagi ini, French toast atau lebih dikenali sebagai pain perdu dalam kalangan masyarakat Perancis.

“Ini antara sarapan kegemaran saya sejak kecil lagi dan saya amat suka menyediakan hidangan ini sehingga hari ini,” katanya.

Menurut Tengku Zatashah, French toast dikenali sebagai pain perdu kerana di Perancis hidangan itu lazimnya diperbuat dengan menggunakan roti yang sudah lama.

Tengku Zatashah sering berkongsi aktiviti hariannya dalam akaun Instagram seperti beriadah dan membaca buku, malah turut menggalakkan gaya hidup sihat.

Baginda juga berkongsi pelbagai kerja amalnya dalam akaun berkenaan, sekali gus membantu mempromosikan pelbagai badan kebajikan yang dinaunginya.

Dalam hantaran yang disiarkan pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan itu, Tengku Zatashah berkongsi resipi French toast yang disediakan.

Resipi  mudah French Toast Chef Z

Bahan-bahan:

3 biji telur

Garam secukup rasa

Serbuk lada hitam

Serbuk kayu manis

Cara menyediakan:

  1. Pukul telur dalam bekas yang besar.
  2. Masukkan garam dan serbuk lada hitam.
  3. Campur serbuk kayu manis (ikut suka), pukul lagi sehingga sebati.
  4. Masukkan sekeping roti ke dalam adunan telur tadi dan terbalikkan ke bahagian sebelah. Cara ini akan membantu adunan telur untuk menyerap ke dalam roti.
  5. Panaskan kuali leper dan masukkan minyak sayuran (jangan guna minyak zaitun).
  6. Ulang langkah ini untuk menyediakan satu atau lebih French toast.
  7. Hidang dalam pinggan bersama-sama madu di atasnya. Memang menyelerakan!
Fadzlena Jafar