Featured By: Yanie Baharom October 30, 2019 @ 11:01am

Tiarasa Escapes Glamping Resort, gaya mewah di balik rimba

Dari IG (Instagram) turun ke hati, begitulah keindahan Tiarasa Escapes Glamping Resort yang dipaparkan dalam setiap entri @tiarasaescapes.

Bertambah kuat keinginan untuk menjejakkan kaki ke sana  selepas terlihat video percutian selebriti popular Scha Alyahya bersama suami, Awal Ashaari dan anak mereka, Lara Alana yang turut disertai sahabat baik pasangan itu, Dynas Mokhtar dan keluarga sekitar pertengahan tahun ini.

Reka bentuk glamping yang unik itu bagaikana di Tanzania, Afrika namun yang membezakannya ialah suasana redup serta nyaman Janda Baik yang juga tiada binatang buas, cukup mendamaikan mata memandang.

Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Effendi, selaku pemilik estet ini memang cukup handal dalam merealisasikan sesuatu yang dirasakan mustahil! Tetapi tidak mustahil baginya.

Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

Bagaikan langkah kanan, akhirnya hasrat untuk menjejakkan kaki ke sana dipermudahkan. Terima kasih kepada Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Tiarasa Escapes Glamping Resort, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al Yahya, yang telah menguruskan penginapan penulis dengan layanan kelas pertama!

Tiba kira-kira jam 1 petang, perjalanan hanya mengambil masa 70 minit (1 jam 10 minit) dari Shah Alam untuk sampai ke destinasi.

Foto: NSTP/ASYRAF HAMZAH.

Melalui kawasan perkampungan Janda Baik yang masih diteduhi pepohon merimbun dan panorama kehidupan yang ‘laid back’ namun disaat melepasi papan tanda Tiarasa Escapes Glamping Resort, yang terletak di Kampung Sum Sum, anda akan terasa seperti masuk ke dunia lain.

Ianya lebih cantik dan gah berbanding foto-foto yang dapat dilihat melalui entri Instagram!

Sebaik sampai, penulis dibawa menikmati makan tengahari di restoran khemah, Rasa. Dua hidangan signatur iaitu Nasi Ulam dan Laksa Sarawak menjadi santapan kami.

Foto: Archive Hijab & Heels

Foto: Archive Hijab & Heels

Penulis difahamkan oleh Aleya, kedua-dua hidangan ini menggunakan resipi yang selalu dimasak oleh Puan Sri Tiara buat suami tercinta, Tan Sri Effendi Norwawi.

Usai makan tengahari, saat yang ditunggu-tunggu tentunya untuk melihat kehebatan kamar yang dinamakan sebagai Hornbill 3, dengan kadar harga RM1190 untuk satu malam. Bagaikan berada di dalam bilik hotel bertaraf lima bintang meskipun hakikatnya ia di dalam sebuah khemah!

Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

Perhiasan bernuansakan safari, kebanyakannya diperoleh dari Sarawak antaranya tikar rotan asli, beg mengkuang, alas meja serta alas hujung katil bermotifkan pua kumbu yang begitu sinonim dengan hasil kraftangan negeri itu. Lebih menarik perhatian sebahagiannya lagi diimport dari luar negara, salah satunya Afrika.

Bukan itu sahaja setiap kamar juga dilengkapi plug USB, yang terletak di sisi kiri dan kanan katil. Bukan satu telefon bimbit sahaja boleh dicas tetapi empat! Siapa yang tertinggal plug pengecas mereka tidak perlu risau kerana boleh terus mengecas dengan menggunakan kemudahan yang ada. Ruang kamar mandi juga cukup menggoda!

Foto: NSTP/ASYRAF HAMZAH.

Satu sahaja benda yang tiada iaitu televisyen kerana pihak pengurusan Tiarasa mahu pengunjung menikmati alam semula jadi selain meningkatkan hubungan kekeluargaan dengan melakukan pelbagai aktiviti kekeluargaan yang disediakan.

Eksplorasi pada hari pertama, diteruskan dengan aktiviti minum petang iaitu Afternoon Tea Picnic by The River.

Sambil menikmati kopi ‘o’ panas, cekodok pisang, samosa kentang, nugget dan onde-onde (buah Melaka), perasaan terlarut dek aura sumber semula jadi daripada desiran air sungai yang memberi ketenangan dan membangkitkan energi positif!

Foto: Archive Hijab & Heels

Foto: Archive Hijab & Heels

Perut kenyang, hati pun senang, namun itu belum cukup untuk menghentikan eksplorasi pada petang itu, apa lagi dari kejauhan terlihat beberapa unit rumah pokok terletak di kawasan tinggi estet berkenaan.

Untuk pengetahuan umum, terdapat 23 bilik penginapan kesemuanya dan 19 daripadanya adalah khemah berona coklat terang kehijauan, disusun secara bertingkat dimana aras atas tersergam rumah pokok yang memukau pandangan.

Foto: Foto: Archive Hijab & Heels

Sepanjang bersiar-siar di sekitar estet berkeluasan lima ekar itu, penulis tercari-cari dari mana datangnya bau wangi yang cukup menyegarkan. Oh! rupa-rupanya bau harum itu datang daripada aneka tanaman herba terutama serai wangi yang ditanam sekeliling khemah.

Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

Patutlah tiada nyamuk! Serai wangi merupakan salah satu jenis tanaman penghalau nyamuk.

Selain serai wangi, tempat ini juga dikelilingi tumbuhan lain antaranya pokok periuk kera serta pokok buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan, nangka dan cempedak.

Aneka tanaman herba yang terdapat di sini, antaranya selasih, kunyit, kesum, bunga telang, kantan, daun pandan dan rosemary yang digunakan cef dalam masakan.

Saat berganti minit, minit berganti jam sedar tak sedar sudah hampir tiba waktu Maghrib. Sebentar lagi, harus ke restoran khemah Rasa untuk menikmati makan malam yang dinamakan sebagai BBQ Dinner Under The Stars.

Foto: NSTP/SALHANI IBRAHIM

Pelbagai makanan laut seperti udang, sotong dan ikan selain ayam, daging, kambing bakar, pasta, salad dan buah-buahan disediakan.

Foto: Archive Hijab & Heels

Sebenarnya, pengunjung boleh memilih untuk menikmati makan di dalam khemah berhampiran kolam yang dijadikan dining area ataupun di bawah sinaran bulan di bahagian luar.

Selesai makan malam, penulis dibawa pula menyaksikan bonfire atau unggun api. Sambil melihat unggun api, pengunjung boleh mengambil marshmallow yang telah disediakan beserta dengan pencucuk untuk dibakar lalu dimakan.

Tiarasa Escapes Glamping Resort

Lebih mengujakan setiap malam, pihak resort menawarkan tayangan filem menggunakan projector dan skrin besar di dataran yang luas berdepan dengan restoran.

Seakan wayang pacak yang popular di kawasan pedalaman suatu ketika dahulu, pengalaman menonton filem pecah panggung, Crazy Rich Asians kali ini dirasakan sangat berbeza dan cukup romantis kerana ditemani bulan dan bintang-bintang di langit. Memang layan sambil menguyah bertih jagung dan air coklat panas!

Foto: Archive Hijab & Heels

Melewati hampir dua jam tayangan filem berkenaan, jam menunjukkan hampir 12 malam. Sudah sampai waktunya melelapkan mata.

Dek kerana suasana damai dan tenang, pasti sesiapa pun terlarut tidur sampai matahari terpacak.

Hanya menyedari hari sudah pagi, selepas kamar diketuk oleh petugas resort yang dipertanggungjawabkan menghantar sarapan ke setiap bilik.

Tidak seperti di kebanyakan hotel di mana kebiasaannya sarapan dihidang secara buffet, Tiarasa Escapes menawarkan kelainan dengan khidmat penghantaran sarapan setiap pagi. Nasi lemak daun pisangnya memang terbaik!

Foto: Archive Hijab & Heels

Menjadikan penghantaran lebih efisyen, setiap petugas menggunakan One Wheel Self Balancing Scooter, untuk mempercepatkan perjalanan mereka dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Selain itu, terdapat satu lagi jenis kenderaan yang digunakan iaitu buggy.

Bagi pengunjung yang membawa anak-anak, aktiviti Nature Walk & Birdwatching adalah wajib dilakukan untuk perkembangan minda mereka.

Petugas resort yang mengetuai aktiviti ini sangat berpengetahuan dan tidak lokek berkongsi informasi mengenai flora dan fauna yang boleh didapati di kawasan resort.

Foto: Tiarasa Escapes Glamping Resort

Perkongsian paling mengujakan adalah mengenai pokok strangler fiq yang mencekik pokok lain hingga mati.

Ini bukan auta tapi fakta! Strangler fig yang asalnya hidup menumpang pada pokok lain, perlahan-lahan ‘menghisap’ nutrien daripada pokok yang ditumpanginya.

Manjalar mengelilingi batang pokok yang ditumpangi sehingga mencecah ke tanah, dahan dan akar strangler fiq yang semakin membesar akan mendapatkan nutrien yang lebih banyak daripada tanah, sekali gus menyekat aliran nutrien lalu ‘mencekik’ pokok tersebut hingga mati.

Pokok yang telah mati akan terurai dan meninggalkan kawasan kosong di tengah-tengah strangler fig yang boleh disaksikan sendiri di Tiarasa Escapes.

Bercakap mengenai aktiviti Birdwatching pula, pengunjung berpeluang melihat pelbagai spesis burung yang bertandang di kawasan itu antaranya burung kakak tua yang hampir pupus.

Foto: Instagram Tiarasa Escapes

Lagi aktiviti untuk kanak-kanak, pihak resort menawarkan aktiviti Arts & Craft dimana mereka akan dibawa ke ‘khemah persidangan’ melakukan aktiviti kraftangan.

Manakala bagi pencinta buku, mereka boleh mendapatkan pelbagai jenis naskhah bacaan dari kisah kehidupan, seni, tokoh sehinggalah sains di perpustakaan mini yang terletak di lobi utama.

Info

* Terletak di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bentong, Pahang
* Keluasan: lima ekar
* 23 bilik pelbagai jenis
* 3 bilik rumah kayu (atas pokok)
* Jenis bilik – Dragonfly, Hornbill, Rajah Brooke dan Ficus.
* Harga antara RM999 hingga RM1,590 ++
* Hubungi : 012 8877 777
* www.tiarasaescape.com

Aktiviti

– Unggun api sambil membakar marshmallow
– Memancing di sungai
– Menanam pokok dan meletakkan nama penanam sebagai kenangan
– Seni kraf dan lukisan menggunakan barangan kitar semula
– Badminton, pingpong dan tenis meja
– Merentas desa, merentas sungai, menunggang kuda, paintball dan badminton.
Nature Walk & Birdwatching

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 10 May 2022
Eat Travel Mon, 17 Dec 2018

Wave Rock Port Baru Buat Si Kaki Hiking!

Uniknya tentang Wave Rock ini, adalah bentuk jalurnya yang senget!

Featured Thu, 11 Nov 2021

Gara-Gara Homestay Tiada Seterika, Suami Banggakan Isteri Guna Cerek Eletrik Untuk Ratakan Tudung

Tindakkan seorang suami ini melicinkan tudung isterinya menggunakan cerek eletrik mendapat pujian ramai di TikTok. Video pendek yang berdurasi kurang 20 saat itu menunjukkan suami kepada pemilik video bernama @eja2110 meratakkan kedut ditudung dengan melalukan […]