Categories: Filem

Raih Kutipan RM25 Juta, Ejen Ali The Movie Bakal Ditayangkan Di Indonesia!

EJEN ALI THE MOVIE terus menguasai carta perfileman tempatan setelah hampir tiga minggu ditayangkan di pawagam  walaupun menerima saingan sengit daripada filem-filem antarabangsa yang lain. Namun, filem animasi ini berjaya mengungguli carta filem pecah panggung dengan meraih kutipan sebanyak RM25 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, Sambutan ‘luar biasa’ yang diterima dari penonton fIlem EJEN ALI THE MOVIE di Malaysia membuka ruang dan peluang kepada kami untuk terus berkembang serta melebarkan sayap ke negara jiran, Indonesia.

Kami merasa amat gembira di atas sokongan yang kami terima dari keluarga, peminat serta rakan industri animasi Malaysia yang lain. Setiap tiket yang dibeli dan setiap respon yang dikongsi oleh mereka menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ini.” Katanya.

Manakala, bagi Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, pencapaian luar biasa filem EJEN ALI THE MOVIE di Malaysia telah mewujudkan fenomena yang turut dirasakan di Indonesia.

” Kami menerima pelbagai respon dari peminat-peminat di Indonesia.  Rata-rata dari mereka bertanya akan tarikh tayangan filem EJEN ALI THE MOVIE di pawagam Indonesia. Bukan itu sahaja, seorang peminat tegar Ejen Ali sanggup terbang dari Indonesia ke Malaysia semata-mata kerana ingin menonton filem EJEN ALI THE MOVIE.  Kami merasa sangat terharu dengan sokongan yang diterima dan hari ini, kami membuat pengumuman rasmi tentang tarikh tayangan filem EJEN ALI THE MOVIE di Indonesia. Kami menjemput semua Ejen-Ejen Indonesia untuk menonton dan  menyertai misi Ejen Ali mencipta rekod pecah panggung di Indonesia! ” Jelasnya.

Sempena kedatangan tahun baru 2020, EJEN ALI THE MOVIE mengumumkan tayangannya di pawagam terpilih Indonesia bermula 1 Januari 2020 iaitu di CGV, Flix cinemas, Kota Cinema dan Cinemax. 

Pelbagai kandungan eksklusif dari filem EJEN ALI THE MOVIE telah dimuatnaik di plaform digital. Bermula dengan ‘lip-sync’ lagu bergenre rap, Bukalah Matamu yang menampilkan Ejen-Ejen muda dari MATA Academy, yang mana video ini telah meraih lebih dari 300 ribu jumlah tontonan dalam masa sehari di laman YouTube.

Permintaan ramai terhadap skor muzik OST (Original Soundtrack) lagu ‘Mama’ yang diambil dari salah satu adegan yang telah berjaya meruntun jiwa penonton yang mana ia mempamerkan kesedihan Ali sewaktu meratapi pemergian ibunya, mula ditayangkan di Youtube pada hari Jumaat, 20 Disember 2019. 

 

Salma Syahbuddin