Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘Pinang Durian’

Restu keluarga amatlah penting. Namun, untuk mendapat restu ini bukanlah perkara mudah. Filem Tonton original yang berjudul ‘Pinang Durian’ mengetengahkan situasi ini.

Ia mengisahkan pertembungan dua buah keluarga yang berasal dari Pulau Pinang dan Perak. Tragedi telah berlaku apabila isteri Maidin dikatakan meninggal dunia dek tercekik biji durian yang dijual oleh Seman (lakonan Usop Wilchar).

Rentetan kejadian tersebut, Maidin (lakonan Farouk Hussain) telah bersumpah tidak akan menyentuh raja buah itu lagi. Dia juga telah mengharamkan buah durian daripada dibawa masuk ke rumahnya.

Namun, setelah hampir dua dekad kemudian, anak lelaki Maidin yang bernama Hamid (lakonan Khai Bahar) telah bertemu dengan anak gadis Seman yang bernama Intan (lakonan Tiz Zaqyah). Dia telah jatuh cinta dengan si perawan itu.

Konflik timbul apabila Maidin enggan melepaskan Hamid. Dia mempunyai hasrat untuk mengahwinkan anak terunanya itu dengan Zeenat, anak usahawan jeruk bernama Cik Bee.

Seman juga tidak bersetuju akan penyatuan antara Hamid dan Intan kerana dia beranggapan bahawa Maidin adalah lelaki yang sombong dan kedekut. Maidin pula beranggapan Seman adalah seorang penipu dan penyebab kematian isterinya dahulu.

Mampukah Hamid dan Intan mendamaikan kedua-dua orang tua mereka dan mendapat restu yang diperlukan?

Cerita Apa? ‘Pinang Durian’
Di Mana? Strim Eksklusif di Tonton

Afiqah Azizan