Categories: Filem

Ubah ‘Credit Title’, Aziz M Osman Kena Saman

Bukan Cinta Malaikat (BCM), sebuah filem yang ditunggu-tunggu oleh semua. Betul tak? Apa taknya, filem yang membariskan pelakon ‘papan atas’ ini turut mendapat sentuhan pengarah terkenal, Aziz M Osman. Memetik laporan BH Online, pengarah ini bakal disaman oleh syarikat filem berkenaan, Fimtab Unik Sdn Bhd (Fimtab). Alamak, kenapa ni?

Pengarah Urusan Fimtab, Richard Ung mendakwa pengarah terbabit telah menukar nama syarikat penerbitan dari Fimtab kepada syarikat milik pengarah itu, Ace Motion Pictures Sdn Bhd (ACE) tanpa pengetahuan dan persetujuan daripadanya.

“Kami bersetuju melantik Aziz sebagai pengarah filem berkenaan. Dalam masa sama, Fimtab turut mengadakan perjanjian perkongsian bersama Aziz sebanyak 25 peratus bagi menampung kos penerbitan daripada 50 peratus itu dan selebihnya dibiayai Genesa.

“BCM mula ditayangkan di Indonesia pada Julai tahun lalu dengan hanya meminjam nama ACE sebagai penerbit bersama, meskipun dalam surat perjanjian masih kekal dengan nama Fimtab dan Genesa,” katanya.

Beliau berkata, sebelum filem BCM ditayangkan di negara ini yang dijadualkan bermula Khamis ini, Aziz meminta salinan asal filem itu daripadanya untuk disunting bagi edisi Malaysia.

“Tanpa ragu saya menyerahkan kepadanya, namun agak mengejutkan saya apabila pada hari tayangan perdana bersama media di pawagam e-Curve Damansara 16 Januari lalu, nama syarikat saya Fimtab dikeluarkan daripada ‘credit title’ sebaik filem itu berakhir dan meletakkan nama Ace Motion Pictures Sdn Bhd sebagai penerbit.

“Selain itu, nama saya sebagai penerbit juga ditukar kepada penolong penerbit,” katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Ampang, hari ini.

Sementara itu, Aziz yang dihubungi mengakui sudah menerima surat tuntutan saman itu daripada syarikat guaman Aziz Hon Annuar Advocates & Solicitors, hari ini.

Aziz berkata, tindakan dibuat Fimtab itu sebenarnya akan memburukkan keadaan, malah mengakui keadaan itu lebih memberi risiko kepada diri dan syarikatnya sendiri.

“Sebenarnya tiada perjanjian bertulis antara ACE dan Fimtab yang dibuat sebelum penggambaran filem BCM dibuat, namun kami bersetuju berdasarkan perjanjian lisan berhubung perkongsian 25 peratus itu berdasarkan ACE akan menguruskan bayaran produksi termasuk pelakon, kru, dan semua lokasi penggambaran di Makkah, Madinah, Terengganu termasuk ‘footage’ peribadi saya ketika di Jordan serta Turki.

“Fimtab hanya menguruskan berkaitan promosi dan pengedaran saja. Namun selepas berakhirnya tayangan filem itu di Indonesia tahun lalu, saya mengambil tanggungjawab menyunting semula filem itu kepada edisi Malaysia bagi penambahbaikkan.

“Saya juga sudah beberapa kali berjumpa Richard untuk membincangkan hal ini termasuk menguruskan hal promosi dan pengedaran di Malaysia.

“Bagaimanapun, dia berkeras tidak mahu berbincang dan saya terpaksa mengeluarkan duit sendiri yang sepatutnya saya gunakan untuk menerbitkan filem X-Ray 3 bagi menampung kos pengedaran dan promosi di sini,” katanya yang sudah membelanjakan lebih setengah juta sepanjang penerbitan filem BCM.

SGMS Putri