Categories: Gaya Hidup

Rasa Sakit Ketika Kencing? Ini Tip Untuk Elak Daripada Masalah Kencing Kotor

Wanita merupakan golongan yang berisiko tinggi terkena jangkitan kuman di saluran kencing atau istilah lainnya kencing kotor.

Menurut Doktor Perubatan Keluarga Klinik Bakti, Dr. Mozarina Mokhtar, wanita mudah terdedah dengan jangkitan kuman berbanding lelaki kerana salur kencing wanita (uretra) lebih pendek serta berdekatan dengan dubur.

Tambahnya lagi, penggunaan produk pembersih wanita, suka menahan kencing, haid dalam jangka masa lama serta melakukan hubungan seksual juga antara faktor yang turut menyumbang kepada jangkitan kuman di saluran kencing.

“Mereka yang mengalami jangkitan kuman di salur kencing akan merasai tanda-tanda seperti rasa pedih ketika kencing, kerap kencing, kencing tak puas, demam, loya serta sakit di bahagian ari-ari. Jika dibiar tanpa rawatan, ia mungkin berbahaya kerana jangkitan boleh merebak sehingga ke buah pinggang,” ujar Dr. Moza.

Berikut merupakan tips yang dikongsi oleh Dr. Moza untuk mengelakkan masalah jangkitan kuman di saluran kencing.

1. Amalkan minum banyak air kosong sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

2. Jangan tahan kencing kerana ia akan menggalakkkan pembiakan bakteria dalam pundi kencing.

3. Selepas membuang air besar atau air kecil, cuci dan lap dari depan ke belakang untuk mengelakkan pencemaran kuman.

4. Amalkan membuang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan seksual.

5. Jangan atau elakkan menggunakan sabun yang kuat atau produk pembersih wanita ketika membersihkan vagina kerana ia boleh membunuh bakteria baik dan merengsakan saluran kencing yang sensitif.

6. Minum jus kranberi kerana ia boleh menurunkan paras bakteria di dalam saluran kencing serta mencegah pembentukan bakteria baru.

7. Tukar tuala wanita dengan kerap serta pakai seluar dalam daripada material kain kapas untuk menyerap kelembapan.

Dr. Moza turut menasihatkan wanita di luar sana agar membuat pemeriksaan lanjut dengan melakukan ujian air kencing di makmal bagi memastikan tiada jangkitan kuman di saluran kencing. 

Ad Ops