Categories: Gaya Hidup

Ruang Usahawan Muda Untuk Serlah Potensi… SAY Aspire Tawar Geran, Peluang Buat Pembentangan Di Hadapan Raja Muda Selangor

Kerajaan Selangor menerusi Exco Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail bakal menganjurkan satu program pembangunan Industri Mikro, Kecil dan Sederhana (IMKS) berorientasikan eksport melalui program SAY Aspire.

Program ini dijadualkan bermula Mac sehingga Mei 2023 dan menyasarkan penyertaan 30 usahawan IMKS di Selangor yang bersedia untuk menerokai pasaran global.

Antara kriteria ialah syarikat hendaklah beroperasi di Selangor, pengarah syarikat berumur 18 hingga 40 tahun, tidak diisytiharkan muflis dan tidak disenarai hitam.

Antara manfaat penyertaan ialah kursus latihan eksport, rangkaian kerja bersama agensi kerajaan seperti Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia), peluang membuat pembentangan di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan peluang untuk memenangi geran SAY Aspire pada pusingan akhir.

Program ini merupakan kerjasama di antara EXCO Pembangunan Usahawan Selangor dan Selangor Youth Community, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan oleh Raja Muda Selangor untuk membangunkan usahawan belia di persada antarabangsa.

Program tahunan ini bermula sejak 2018 dan telah melahirkan ramai usahawan berjaya seperti Medics-Pet, PopsMalaya dan Innersejuk.

“Kerajaan negeri Selangor berharap agar program seperti SAY Aspire ini bukan sahaja dapat diteruskan malah diperluaskan lagi demi memupuk semangat juang dan daya saing yang tinggi dalam kalangan usahawan IMKS di Selangor agar terus berdaya maju dan kekal berdaya tahan, sekaligus dapat mengharumkan nama Selangor di persada dunia melalui eksport produk buatan tempatan namun setanding kualiti antarabangsa,”

Untuk informasi lanjut, layari laman web www.entrepreneurshipselangor.com.my/sayaspire.

Padin