Categories: Gaya Hidup

Tidak ingat sama ada anda sudah mengganti puasa atau belum? Lakukan perkara ini

Antara faktor yang menyebabkan wanita tidak berpuasa pada bulan Ramadan ialah datang haid, nifas, hamil, perlu menyusu anak dan ada juga disebabkan sakit yang menyebabkan mereka tidak mampu menahan lapar atau dahaga.

Bagi mereka yang meninggalkan puasa atas alasan berkenaan, tidak menjadi kesalahan untuk tidak berpuasa, tetapi perlu ingat untuk menggantikan setiap hari yang ditinggalkan sebelum tiba Ramadan yang seterusnya.

Ada dalam kalangan anda yang mengganti puasa seawal yang mungkin, iaitu sebaik hari raya pertama, mereka akan mula berpuasa.

Ada pula yang gemar menangguh hingga betul-betul saat terakhir, hingga ada hari yang tidak sempat untuk diganti.

Bagaimanapun, pernahkah anda melalui situasi apabila anda tidak ingat sama ada anda sudahpun menggantikan puasa tahun lalu atau tidak?

Foto: Kompasiana.com

Jika ini berlaku kepada anda, apa yang boleh dilakukan?

Pengurus Unit Syariah di Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman, berkata individu berkenaan perlu menetapkan kedudukan diri atas keadaan yang paling diyakini.

“Jika seseorang itu yakin bahawa dia telah atau ada meninggalkan puasanya pada Ramadan yang lalu, maka pada ketika itu dia dianggap masih berhutang sehinggalah dia menggantikan puasa berkenaan.

“Meskipun dia tidak pasti sama ada puasanya telah digantikan atau tidak, dalam situasi ini keyakinan hendaklah disandarkan kepada keadaan asal iaitu puasa yang belum diganti kerana dia lebih pasti yang dia tidak berpuasa Ramadan lalu,” katanya.

Hal ini berdasarkan kaedah fiqah yang mengatakan keyakinan tidak boleh luntur dengan syak.

Jadi, memandangkan bulan Ramadan tahun ini telah tiba, jika anda berhutang puasa tahun lepas, anda perlulah membayar fidyah untuknya.

Bagaimanapun, Ustaz Ahmad Husni, berkata puasa berkenaan masih perlu diqada selepas ini.

Perlu diingat, puasa pada bulan Ramadan akan tetap menjadi hutang selagi ia tidak digantikan.

 

Ad Ops