Categories: Gaya Hidup

Tyra Banks bakal buka taman tema berinspirasikan dunia peragaan

Supermodel antarabangsa Tyra Banks akan berkongsi pengalamannya sebagai peragawati terkemuka dunia dengan orang ramai menerusi projek terbaharunya: Modelland.

Ini adalah sebuah taman tema fantasi yang bertemakan peragaan berkonsepkan sesiapa sahaja boleh berkunjung untuk merasai pengalaman seperti seorang peragawati atau peragawan.

“Tidak kira apa jua rupa penampilan mereka – lelaki atau perempuan, tua atau muda – semuanya dijemput untuk melalui transformasi bagi menjadi versi diri mereka yang diidamkan.

“Apabila pengunjung meninggalkan Modelland, kami ingin mereka membina keyakinan dan keterujaan yang luar biasa,” kata Tyra.

Dengan keluasan 64,000 meter persegi ini, Modelland akan dibuka pada hujung tahun ini di pusat beli-belah Santa Monica Place, California, Amerika Syarikat (AS).

Tyra juga bercadang untuk membuka lebih banyak cawangan seumpamanya di luar AS.

Penerbit rancangan realiti America’s Next Top Model itu merancang konsep Modelland sejak 10 tahun lalu dan ia menawarkan hiburan interaktif, jualan barangan terpilih dan kandungan yang dijana oleh pengunjung sendiri.

“Saya sudah lama mendapat inspirasi daripada tarikan seperti Disneyland dan Universal Studios. Dari situ, saya ingin membawakan semangat pemgembaraan dan penceritaan yang sama ke dunia peragaan,” kata Tyra.

Bagaimanapun, Modelland bukannya memfokus kepada industri peragaan yang eksklusif, sebaliknya berkonsepkan “sesiapa juga boleh menjadi peragawati/peragawan”.

“Saya mencipta konsep America’s Next Top Model untuk mengembangkan lagi definisi kecantikan berdasarkan pengalaman perit saya sendiri yang mana saya tidak diterima kerana saya berisi atau berkulit hitam.

“Rasa empati saya terhadap wanita secara umumnya bertambah melalui pengalaman saya dalam industri ini.

“Kini dengan Modelland, saya ingin menghadiahkan satu peluang untuk orang ramai menjejakkan kaki ke dunia yang selalunya eksklusif ini,” katanya.

Foto: Pinterest

Wah, menarik! Tidak sabar rasanya untuk melihat bagaimana konsep Tyra ini direalisasikan.

Setakat ini belum ada sebarang gambar yang dikongsikan mengenai taman tema ini. Nantikan, ya!

Sumber: WWD, Variety

Ad Ops