11 Tahun Tanpa Single Baharu, Raihan Tetap Laku!

Anggota kumpulan nasyid Raihan, Che Amran menafikan mereka tidak lagi menerima tawaran menyanyi pada masa ini.

Raihan ketika ditemui di sidang media konsert ‘Qasidah Night’ memaklumkan mereka masih aktif menerima tawaran persembahan di dalam dan luar negara.

“ Mungkin ramai menyangka kami dah tak aktif macam dulu memandangkan jarang keluar televisyen dan lagu baharu pun sudah lama tak dirakam.

“ Tetapi Raihan tetap ‘hidup’ dan masih aktif menyanyi termasuklah menerima undangan di luar negeri. Kami juga membuat persembahan di Dubai, Indonesia dan Kanada. Alhamdulillah, rezeki untuk menyanyi lagu-lagu dakwah masih lancar dan peminat masih mahukan Raihan menyanyikan lagu- lagu lama,” katanya kepada XTRA.

Akui Che Amran, walaupun single terakhir mereka dirakam pada tahun 2008, ia bukan penghalang mereka menerima tawaran daripada penganjur.

“ Walaupun tanpa single baru, kami memiliki kelompok peminat tersendiri yang menyokong sejak 23 tahun lalu.

“ Kebanyakan daripada mereka sudah berkeluarga dan bekerjaya. Sebahagian besar aktiviti yang kami anjurkan atau persembahan, mereka datang menyokong. Atas sokongan inilah, Raihan masih utuh atas sokongan kelompok ini,” katanya terharu.

Dalam perkembangan lain, Raihan bakal tampil dalam sebuah projek single baharu bersempena bulan Ramadan akan datang.

“ Kami akan masuk ke studio dan merakam sebuah lagu nasyid lama dengan penyanyi terkenal masa kini. Jika tiada aral, kami bakal masuk studio pada hujung minggu ini. Insha Allah,” akhirinya.

Raihan bermaksud haruman dari syurga dianggotai Nazrey Johani selaku penyanyi utama, Allahyarham Azahari Ahmad, Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim tampil dengan album pertama berjudul Puji-Pujian berkonsep nasyid kontemporari.

Populariti diraih Raihan sejak 1997 membawa mereka mengembara ke seluruh dunia mengadakan persembahan. Antaranya Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Afrika dan Asia.

Oleh: SGMS Fas & Azroy

SGMS Faida