12 Tahun Tinggalkan Dunia Pengacaraan, Sharifah Shahirah Ingin Jadi Diri Sendiri

Pelakon, pengacara dan pelawak, Sharifah Shahirah atau Shiera bersedia untuk mengendalikan acara berprestij TV3, Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) yang bakal diadakan pada 12 Mac ini.

Bakal mengendalikan program tersebut bersama ibu saudaranya, pengacara Sherry Alhadad, Shiera menyatakan dirinya ingin menjadi diri sendiri biarpun sudah 12 tahun meninggalkan dunia pengacaraan.

Kali terakhir Shiera muncul sebagai pengacara ketika mengendalikan program TV3 iaitu Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 bersama Raja Azura, Didie Alias dan Zizan Razak.

“Saya tak tahu kerja dia macam mana, saya rasa daripada dulu sampai sekarang ni masih sama. Bila tengok pengacara yang ada pun, saya rasa Insya-Allah bolehlah.

“Kalau nak terima, terimalah. Kalau tak ada apa-apa yang perlu saya cakap, saya takkan cakap. Sebab mereka selalu cakap ‘saya artis kurang cerdik’.

“Tapi saya masih di sini dan ada yang berterima kasih juga pada saya kerana menghiburkan mereka. Saya tak kisah jika nanti digelar apa-apa sekalipun, perkara itu tidak akan mendatangkan cela kepada mereka tapi terima kasih kerana memberitahu saya.

“Dari segi persediaan saya akan cuba sehabis baik sebab saya dah tanamkan untuk jadi diri sendiri untuk bagi semua orang suka,” katanya.

Pertama kali mengacarakan program besar dengan Sherry, Sheira turut meluahkan rasa teruja dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mencipta keserasian bersama.

“Alhamdulillah, kali ini TV3 terbuka hati panggil saya semula. Dapat pula mengacara dengan Sherry. Kami ada pertalian darah di mana bapa Sherry dan nenek saya adalah adik beradik.

“Dahulu kami bergandingan tetapi dalam program yang tidak popular. Sekarang, Alhamdulillah dalam program popular.

“Sudah lama saya kenal Sherry. Jadi, saya tiada masalah (bekerja dengan Sherry). Sebenarnya, saya tiada masalah mengacarakan majlis dengan siapa pun. Saya suka ikut pasangan dan saya akan jadi diri sendiri,” katanya.

Tonton Anugerah Drama Sangat bakal berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan bersiaran di TV3, jam 9 malam, pada 12 Mac 2023, Ahad.

Fatin Nurain