15 Tahun Ke Udara, Ketuk-Ketuk Ramadan Bakal Tamat Bersiaran

Pengarah Bahagian Program TV RTM, Norliza Mohd Ali, mahu program masakan popular di TV1, Ketuk-Ketuk Ramadan diteruskan walaupun penerbitnya, JS Pictures akan menamatkannya selepas 15 tahun bersiaran pada Ramadan ini.

“RTM tiada hasrat untuk menggugurkan program itu buat masa ini, mungkin penerbitnya ada idea lain?

“Lagi pun kalau program bagus, kenapa perlu ditamatkan? Kami akui program itu satu jenama yang sinonim dengan Sheila Rusly, kalau diubah tidak akan jadi sama,”
ujar Norliza.

Berkata pada sidang media Program Khas Ramadan 2019 ‘Sucinya Ramadan’ di Angkasapuri, Norliza percaya sesebuah program di RTM semestinya mengambil masa lama untuk kekal mempunyai peminat sendiri.

Sebelum ini, penerbit JS Picture, Azman Yahya atau Jinggo mendedahkan tidak mahu menyambung musim baru program itu pada masa depan.

Malah pengacara program itu yang juga isteri Jinggo, Sheila Rusly berpendapat program itu sudah terlalu lama bersiaran dan sudah tiba masanya untuk melabuhkan tirai.

Ketuk-Ketuk Ramadan bersiaran pada setiap hari pada bulan Ramadan jam 12.30 tengahari di TV1.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida