2 Dekad Dalam Industri, Marcell Bakal Adakan Konsert Di Malaysia Disember Ini!

Penyanyi Indonesia Marcell Siahaan bakal mengadakan konsert di Malaysia anjuran The Jay Events & Media, pada 9 Disember ini.

Konsert yang dinamakan ‘Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur’ itu bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur, sempena 20 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

Menurut Marcell, dia amat bersyukur dan berbesar hati untuk membuat konsert di sini demi mengubati kerinduan peminat selepas negara berdepan dengan pandemik.

“Syukur kerana saya masih pnya kesempatan kembali menyapa peminat di Malaysia.

“Pandemik adalah satu tempoh yang sukar untuk kita semua, tetapi seperti single yang saya lahirkan dalam fasa ini, Menunggu, saya fikir penantian kita semua akan berakhir dengan terlaksananya Marcell Dua Dekade.

“Konsert ini akan menjadi istimewa dan intim buat saya serta peminat semua setelah kita melalui ujian dan kesukaran dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Marcell juga menyatakan dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk konsert tersebut biarpun sudah sekian lama tidak bertemu peminat.

“Saya tidak meletakkan ekspektasi yang tinggi kerana itu akan membuatkan saya jadi lebih banyak keraguan dan berfikir tentang penerimaan penonton.

“Saya takut kalau saya berharap terlalu tinggi saya akan menerima komen yang kurang memuaskan dan saya tidak mahu perkara itu terjadi. Apapun saya ingin melihat mereka semua terhibur dengan persembahan saya nanti,” jelasnya.

Terdahulu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Semusim, Jangan Pernah Berubah, Firasat dan Takkan Terganti itu telah menempa namanya dalam industri muzik Indonesia sejak tahun 2003.

Orang ramai boleh dapatkan tiket konsert tersebut dengan harga RM288 hingga RM7,888  yang sudah mula dijual menerusi www.myticketasia.com.

 

Fatin Nurain