YOLO Malaysia Anjur Konsert NOAH Live In Kuala Lumpur November Ini!

Kumpulan Rock Indonesia NOAH, mengumumkan bakal mengadakan konsert NOAH Live In KL anjuran YOLO Malaysia di Zepp Kuala Lumpur, pada 12 November ini.

Menurut Haniff Hamzah selaku Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, dia berasa teruja untuk menganjurkan konsert bersama band terkemuka negara jiran ini selepas menerima pelbagai maklum balas positif sepanjang mengendalikan konsert artis tempatan.

“YOLO Malaysia kini telah bersedia menerobosi lapangan hiburan muzik yang lebih unggul. Setelah 6 buah konsert ‘YOLO Live Sessions’ berjaya dianjurkan dengan membawa aksi-aksi hebat pemuzik tempatan, kini YOLO Malaysia maju setapak lagi dengan membawakan persembahan oleh band terkenal dari luar negara.

“Sebagai permulaan, kami akan bawakan artis-artis dari rantau Asia Tenggara terlebih dahulu, dan buat pertama kalinya dalam sejarah hiburan tempatan, kami mempersembahkan sebuah band ternama dari Indonesia iaitu NOAH,” katanya.

Kumpulan yang dianggotai oleh Ariel (vokalis), Lukman (gitaris) dan David (keyboardist) itu juga turut berbesar hati untuk membuat persembahan di Malaysia bagi menghiburkan peminat-peminat di sini atas pelawaan YOLO Malaysia.

Malah, Hamka Mohd Taufik selaku Penerbit Kreatif  syarikat itu menyatakan konsert tersebut juga bakal diiringi oleh tiga pemuzik profesional dan mempunyai kejutan yang akan dipersembahkan demi mengubati kerinduan peminat band itu.

“Selain mengubati rindu peminat-peminat NOAH di sini (Malaysia), bersedia untuk merasai pengalaman luar biasa berada dekat dengan idola lagenda rock anda selama 90 minit tanpa henti dengan lagu-lagu hit mereka sepanjang penglibatan dalam industri muzik.

“Pada malam konsert nanti juga, 3 pemuzik profesional akan mengiringi persembahan NOAH dan ada kejutan yang bakal dipersembahkan, jadi kalau hendak tahu apakah kejutan tersebut, kenalah hadir pada 12 November di Zepp KL nanti,” jelasnya.

Untuk makluman,  YOLO Malaysia telah memperkenalkan tempoh pra-pendaftaran untuk setiap konsert anjuran mereka bagi pembeli yang ingin mendapatkan tiket di peringkat awal sebelum dijual secara umum.

Pihak penganjur menyarankan agar pembeli mengikuti kesemua platform media sosial YOLO Malaysia bagi mendapatkan maklumat yang terkini.

Terdahulu, YOLO Malaysia telah berjaya menganjurkan sebuah konsert rock mantap ‘YOLO Live Sessions: 3 Generasi’ yang menghimpunkan pemuzik-pemuzik rock berbeza generasi seperti kumpulan Spider, Noh Salleh dan XPDC.

Fatin Nurain