2 Tahun Tunggu Tuntutan Hak Anak Selesai, Lufya Omar Dedah Dianiaya Peguam & Bekas Suami Culas Beri Nafkah! – “RM300-RM500 Tak Relevan”

Baru-baru ini, pelakon dan penyanyi, Lufya Omar mendedahkan bahawa tuntutan nafkah anak yang dibuat ke atas bekas suaminya itu masih belum selesai.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Lufya mendedahkan yang dia telah membuat tuntutan nafkah anak sejak dua tahun lepas dan masih belum selesai malah dia baru mengetahui bahawa tuntutan yang difailnya telah dibatalkan oleh Hakim.

“2 tahun tuntut nafkah anak tak settle dan menunggu 8 bulan untuk tarikh seterusnya, it’s so ridiculous. Baru ni dapat tahu rupanya kes nafkah anak Lufya telah dibatalkan/ditutup oleh Hakim.

“Gali punya gali rupanya lawyer kita sendiri tak hadir mewakili kita,” kata Lufya.

Akui rasa teraniaya dengan peguam yang dilantik sebelum ini, Lufya meluahkan rasa terkilan kerasan dia sebagai seorang ibu tunggal perlu bekerja keras untuk menyediakan keperluan anak perempuannya itu.

“Subhanallah… kita lantik dia untuk bel akita malah rasa dianiaya. Lufya ni single mom yang bekerja keras menyediakan yang terbaik untuk anak perempuan Fya.

“Tangisan, jerih perih membesarkan anak sendiri jangan cerita lah. Apa yang terjadi sebelum ini tolak tepilah,” luahnya.

Bukan itu sahaja, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 37, mendedahkan bahawa jumlah bayaran nafkah yang perlu dibayar bekas suaminya hanyalah berjumlah RM300-RM500 dan ia tak relevan namun masih culas untuk memberikan kepada anak sendiri.

“Come on! RM300-RM500 jumlah yang tak relevan lagi lah untuk nafkah anak. Itupun culas! Dah failkan kes baru masukkan duit ke akaun anak itu pun ikut jumlah suka hati dia. We should give the best to our child!,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Namun begitu, Lufya juga memaklumkan bahawa dia telah mengambil keputusan untuk melantik peguam baru untuk failkan tuntutan semula nafkah terhadap anaknya itu.

“Alhamdulillah baru lantik peguam yang berkaliber Tuan @fakhrul_azman_hasan. Terima kasih banyak-banyak atas segala urusan dan khidmat nasihat. Sangat-sangat membantu.

“Semoga dilancarkan segala urusanku dan juga urusan seluruh ibu tunggal yang berjuang membesarkan anak-anak mereka seorang diri. Moga Allah permudahkan jalan kita semua dan limpahkan rezeki yang halal,” ujarnya lagi.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet meminta Lufya untuk terus berjuang dan ada segelintir yang mengadu mengalami nasib yang sama.

Untuk info, Lufya pernah mendirikan rumah tangga bersama seorang doktor selebriti, Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada November 2016.

Namun, ikatan perkahwinan mereka tidak kekal lama apabila mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada Jun 2020.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Laana Haura, 4.

Atiqah Johari