26 Guru Di Perlis Didakwa Enggan Terima Vaksin

Isu melibatkan kakitangan kerajaan yang menolak vaksin semakin menjadi perdebatan di kalangan ramai. Terbaru, seramai 26 guru sekolah di Perlis dikesan enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri, Rozieana Ahmad,daripada 4,710 guru di seluruh Perlis, 4,504 daripadanya sudah melengkapkan dos vaksin COVID-19 manakala baki 206 belum lagi mengambil sebarang dos vaksin.

“Daripada jumlah itu, 91 orang guru enggan menerima vaksin pada mulanya namun selepas perbincangan dilakukan, 65 guru bersetuju untuk menerima suntikan vaksin.

“Seramai 26 orang guru lagi yang tegar menyatakan belum bersedia untuk menerima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Yang ke-14 di Kompleks DUN, hari ini.

Difahamkan, sebilangan guru menolak vaksin kerana masalah kesihatan dan bukan menolak secara 100 peratus.

Rozieana berkata, pihaknya merayu kepada kumpulan guru berkenaan supaya berfikir secara rasional demi keselamatan murid apabila pembelajaran secara bersemuka bermula kembali.

Sumber: BH

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”