Categories: HiburanTrending

3 Jam Yang ‘Biso Bonar’.. Konsert Hattan 35 Years Journey Penuh Tenaga

Penuh bertenaga! Itu perkara pertama yang terlintas di fikiran usai tiga jam menikmati persembahan solo berskala mega pertama Datuk Hattan, Konsert Hattan 35 Years Journey.

Bakal menginjak usia 58 tahun Disember ini, Hattan membuktikan umur hanya sekadar angka.

Ia tidak menghalang Hattan untuk memberikan persembahan terbaik tiga jam tanpa henti dan pastinya mengukir senyum penonton yang hadir di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun.

Sering mengangkat budaya tanah kelahirannya dalam setiap perkara yang dilakukan, Hattan memulakan konsert dengan alunan cak lempong yang menjadi kebanggan anak Nogori dan membuka panggung dengan alunan Biso Bonar.

Bagaimana Hattan bermula dengan wang RM20 pemberian arwah ibunya, kisah 10 lagu dalam album penuh yang pernah ‘diharamkan’, kisah bersama insan seni lain seperti Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip dan arwah Loloq, Hattan membawa penonton menelusuri kerjaya seninya selama 35 tahun bertapak.

Jatuh, bangun, duduk, berlari… Semua diceritakan dengan penuh rencah dalam perjalanan konsert ini dan ia disampaikan secara istimewa bersama deretan lagu hits nyanyian Hattan.

Dari Kekasih Kepada Kekasih, Meniti Perjalanan, Arca, Dia, Memburu Rindu, Sekuntum Mawar Merah, Rendang Tak Berbuah, Gerhana, Duit, Satu Malaya Dah Tahu, Samba Apa Saja antara lebih 23 lagu yang disampaikan secara bertenaga oleh Hattan.

Penyanyi kelahiran Seri Menanti, Kuala Pilah itu juga mempelawa anak kesayangannya, Adam Eiman untuk berduet menyampaikan lagu hits Gadis Jolobu.

Menghampiri jam 12 malam, Hattan menutup malam konsert penuh gemilang dengan lagu popularnya, Mahligai Syahdu.

Konsert ini melakar tanda aras tersendiri. Menjadi antara konsert pemula yang merancakkan kembali dunia seni tempatan selepas dua tahun sepi kerana wabak, segalanya diatur kemas.

Baik dari segi stamina dan vokal Hattan, susun atur muzik yang padu, sistem bunyi berkualiti serta penganjuran terbaik oleh Mewah Event Management, semuanya kena pada tempatnya.

Konsert ini menjadi bukti Hattan merupakan antara vokalis lelaki unggul yang menghuni lipatan khazanah muzik tempatan.

Padin