Categories: HiburanTrending

6 Tahun Dalam Industri Peragaan, Qasrina Karim Serius Ceburi Dunia Lakonan

Model yang kini bergelar pelakon, Qasrina Karim kini serius menceburkan diri dalam bidang lakonan.

Mula berlakon semenjak dua tahun lalu, Qasrina sudah bergelar model dan wajah untuk beberapa jenama semenjak 2016.

“Saya sudah enam tahun bergelar model. Bermula dua tahun lepas, saya dah cuba-cuba berlakon. Bermula sebagai model, saya rasa peralihan saya sebagai satu ‘natural progression’ untuk menceburkan diri dalam dunia lakonan dengan lebih serius.

“Saya baru sahaja selesai penggambaran sebuah drama bersiri khas untuk tontonan kanak-kanak sebelum bulan Ramadan menjelma. Kini, saya sedang berada di set penggambaran karya berjudul ‘Siapa Buka Lampu?’ yang bergenre komedi seram.

“Saya membawakan watak gadis yang boleh berkomunikasi dengan makhluk halus. Dalam naskhah terbabit, saya bergandingan dengan Ammar Titan, Issey Fazlisham, Bell Ngasri dan dua pelakon Indonesia,” katanya yang pernah membintangi filem Kongsi Raya bersama Erra Fazira, Harith Iskander dan Chew Kin Wah.

Qasrina ditemui di majlis pembukaan flagship store Alhumaira di KL East mall, baru-baru ini.

Menjalin kerjasama semenjak 2016, Alhumaira merupakan antara jenama terawal yang membawa nama Qasrina dalam dunia peragaan.

“Sejak enam tahun lalu saya dah bekerja dengan mereka. Setahun selepas itu pada 2017, saya dah mula menjadi ‘model rasmi’ mereka. Alhumaira merupakan jenama pertama yang mendekati saya sebagai model dan selalu ada tempat istimewa dalam hati saya.

“Saya berbangga melihat jenama ini mengorak langkah besar dengan pembukaan flagship store pertama di dalam pusat membeli-belah iaitu di KL East Mall,” kata Qasrina.

Dalam pada itu, menurut pengasas Alhumaira, Hani Elia Rousli, ini merupakan butik pertama Alhumaira di dalam pusat beli-belah dan juga batu loncatan buat Alhumaira untuk terus berkembang lebih maju.

“Flagship store Alhumaira terletak di tangkat G2 pusat beli-belah KL East Mall yang mempunyai keluasan 1,800 kaki persegi dan beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Dengan pembukaan butik ini juga, ia secara tidak langsung dapat memenuhi hajat penggemar fesyen Muslimah agar menyediakan rapian yang berkualiti tinggi dan menarik.

“Bersempena dengan pembukaan butik ini juga, Alhumaira mengambil kesempatan melancarkan koleksi khas Raya mereka, yang diberi nama #SempurnaRaya2022 sebagai persediaan awal menyambut bulan Syawal,” katanya lagi.

Padin