Safura Menangis Hiba Di Instagram

Penyanyi popular era 1990-an, Safura Ya’cob, 45, menarik perhatian netizen apabila berkongsi foto anak sulungnya, Nur Aisyah Mariam yang meninggal dunia pada 2011 di Instagramnya, semalam.

Safura dalam sayu akui amat merindui anaknya yang sepatutnya menyambut hari lahir, hari ini.

“Senyuman anak syurga ku… lahir 23.8.08.. kini tiada lagi.. insan yang kukasihi.. yg ada hanya pusara sepi…biarku simpan kenangan ini.. Happy brthday bidadari ku.

“Pasti akan aku cium baju terakhir yang arwah pakai, akan aku cium sepuasnya dan menangis semahunya sehingga lelah itu habis.

“Tunggu mama, jangan lupa cari mama nanti,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Sedalam Mana Cintamu.

Turut berkongsi kesedihan beberapa rakan artis, antaranya, Zarina Zainuddin dan Taiyuddin Bakar yang turut meninggalkan komen berbentuk semangat dan doa buat Safura.

Nur Aisyah meninggal dunia akibat demam berpanjangan di Hospital Ampang Puteri pada 13 September 2011. Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang.

Terdahulu, Safura juga pernah memuat naik entri serupa berkenaan kerinduannya terhadap arwah Nur Aisyah Mariam.

Selain Nur Aisyah, Safura dikurniakan tiga lagi cahaya mata hasil perkahwinan kedua bersama pelakon, Sahronizam Noor selain dua anak melalui perkahwinan dengan penyanyi kumpulan Kool iaitu Hairie Yaacob.

 

Oleh: Guy Masaki

SGMS Putri