Abby Abadi Dedah Isu Dengan Norman Hakim Tak Pernah Selesai – “Saya Lebih Banyak Beralah…”

Baru-baru ini, nama pelakon dan penyanyi Abby Abadi terpalit dengan isu curang dan terkilan apabila ada pihak sering mengungkit kisah silamnya.

Memetik laporan Berita Harian, Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan mendedahkan perkara yang berlaku diantara dirinya dan bekas suami, Norman Hakim tidak pernah selesai.

“Sejujurnya, apa yang berlaku antara saya dan Norman dahulu tidak pernah selesai sebenarnya.

“Namun, saya memilih untuk tidak memperkatakannya. Itu kerana saya tidak mahu bergaduh.

“Dalam hal ini, saya lebih banyak beralah. Hanya saya dan Norman tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Allah maha mengetahui. Jadi biarlah dia jawab dengan Allah,” jelasnya.

Menurut bekas ahli kumpulan Elite ini, dia tidak berpuas hati apabila ada pihak yang sengaja membuka aib bekas suami dan mengungkit isu curang tersebut.

“Kenapa setiap kali isu kecurangan timbul mesti nama saya akan terkait. Ia sudah jadi macam perkara biasa walaupun hantaran yang dimuat naik tidak ada kena-mengena dengan kisah hidup saya.

“Saya bukan bosan dengan netizen yang suka serkap jarang, tetapi kalau boleh janganlah memandai-mandai.

“Jika tak tahu apa-apa, tolong jangan komen. Ingat sikit dosa dan pahala,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpalit Dengan Isu Curang, Abby Abadi Beri Teguran Halus Buat Netizen – “Jangan Buat Palatao Okay”

Maya Basir