ABPBH Ke-35 Kembali! Kekalkan Legasi Seni Dengan Iktiraf Bakat Muda

Anugerah pilihan peminat paling lama di Malaysia iaitu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kembali untuk edisi ke-35 dengan mengangkat tema Ekspresi Legasi Seni.

Membawa perubahan selaras minat dan aspirasi Gen Z yang menjadi kelompok sasaran utama, ABPBH 35 memberi pengiktirafan kepada anak muda dalam meningkatkan potensi diri serta berkongsi bakat dan nilai positif dalam menggapai kegemilangan.

Selain Kategori Utama, Kategori Ekstra! dipertandingkan bersesuaian dengan kelompok sasaran iaitu Gen Z, dimana peminat boleh membuat pilihan dalam tujuh kategori popular bersifat semasa dan ā€˜trendingā€™, termasuk kandungan popular platform digital.

Menurut pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, ABPBH 35 kembali merancakkan industri kreatif bagi mengiktiraf sumbangan penggiat seni dalam pelbagai medium dan platform popular sesuai dengan peralihan endemik COVID-19.

Selain itu, anugerah berprestij ini mahu memberi fokus utama kepada bakat pelapis baru dalam menyajikan hiburan dan berkongsi kreativiti bersama peminat, demi kemajuan sektor kreatif tempatan dan antarabangsa.

ā€œSelepas penggiat industri kreatif melalui detik sukar sejak penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan sebahagian besar daripada anak seni hilang sumber pencarian, kira-kira tiga tahun lalu, penganjuran ABPBH 35 diharap dapat merancakkan lagi pembangunan industri seni.

ā€œABPBH 35 sekali lagi berbesar hati memberi mandat kepada peminat yang selama ini cukup setia memberi sokongan kepada artis, selebriti dan pengkarya seni, untuk memilih bintang pujaan masing-masing dalam pelbagai kategori dipertandingkan.

ā€œSokongan tidak berbelah bahagi peminat kepada pembangunan industri seni menjadi nadi penggerak dan talian hayat untuk sektor kreatif terus berkembang, termasuk pengkarya dan sumber tenaga lain lain yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam landskap seni kreatif tempatan.

ā€œBH teruja dapat membawa ABPBH 35 yang sudah menjadi acara sinonim dalam mengukur kecemerlangan artis dan penggiat seni tempatan. Ini membolehkan pengiktirafan selayaknya diberi kepada anak seni yang bukan sahaja berbakat, malah mempunyai visi untuk membawa karya dan kepakaran mereka lebih jauh dalam era digital,ā€ katanya.

Pada malam kemuncak ABPBH 35, sebanyak dua belas (12) Kategori Utama dipertandingkan iaitu BBNU Lelaki Popular, BBNU Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Penyanyi Wanita Popular, Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular, Aktor Filem Popular, Aktres Filem Popular, Aktor TV Popular, Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular dan Artis Komedi Popular.

Turut dipertandingkan adalah tujuh (7) Kategori Ekstra! iaitu Couple Drama Popular, Couple Filem Popular, Drama Popular, Lagu Paling Boom, Content Creator Popular, TikTokers Popular dan Video Viral Popular.

Membariskan 12 kategori di bawah Kategori Utama dan tujuh (7) Kategori Ekstra!, peminat boleh mengundi artis pilihan bagi peringkat Top 20 mulai hari ini, 12 Mei 2023 sehingga 11 Jun 2023 menerusi laman web ABPBH 35 di www.abpbh.com.my. Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma ataupun pakej langganan BH digital.

Maya Basir