Categories: HiburanTrending

“Adakah Lagu Ini Tidak Bagus?” – Haqiem Rusli Hairan ‘Mimpi’ Tak Tersenarai Top 5 AIM23

Penyanyi Haqiem Rusli mempertikaikan lagu Mimpi tidak tersenarai sebagai calon Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 24, pihak pengurusannya, FMC Music telah mencalonkan lagu Mimpi untuk bersaing dalam enam kategori namun malangnya tidak tersenarai sebagai calon akhir.

“Saya pelik apabila dimaklumkan lagu Mimpi langsung tak masuk senarai calon top 5 AIM.

“Kegagalan itu turut menimbulkan tanda tanya, adakah lagu ini tidak bagus? Namun saya yakin rezeki itu Allah yang atur dan susun.

“Jadi saya serahkan sahaja perkara ini pada pihak pengurusan FMC Music,” katanya.

Mimpi ciptaan Haqiem dan lirik oleh Datuk A. Aida pernah meraih tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu ke-36 pada Mac lalu.

Dalam pada itu, wakil pihak pengurusan Haqiem dalam satu kenyataan berharap agar jawatankuasa AIM23 menyemak semula senarai calon akhir.

“Kami sedia maklum AIM adalah anugerah yang diberikan kepada karya berkualiti dan bukan bersandarkan populariti lagu semata-mata.

“Kami tidak akan mempertikaikan sekiranya lagu ini tidak pernah memenangi apa apa anugerah yang melalui proses penjurian profesional.

“Malah kami sangat yakin bahawa ini lagu Mimpi layak untuk berada dalam senarai top 5 AIM23 untuk beberapa kategori,” ujar wakil FMC.

FMC telah mencalonkan lagu Mimpi untuk kategori Lagu Pop Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Susunan Muzik Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Drama dan Muzik Video Terbaik.

Padin