Luar Biasa! Ini Cara Aizat Penuhi Impian Ayah

Single Sampai Ke Hari Tua nyanyi Aizat Amdan bakal didendangkan dalam bahasa hindi! Itu kelainan yang dibawa oleh penyanyi berusia 29 tahun ini.

Aizat ketika ditemui di majlis sidang media Manifestasi Cinta Aizat Amdan ‘Sampai Ke Hari Tua, semalam, memberitahu menyanyikan lagu dalam bahasa hindi merupakan salah satu impian ayahnya.

“ Saya suka mencuba dalam erti kata lain, buat apa yang orang lain tak buat. Atas minat mendalam terhadap lagu berirama Hindi, saya fikir apa salahnya mencuba sesuatu yang baru. Ayah pernah berpesan agar saya cuba menyanyi dalam pelbagai bahasa.

“ Lagu ini dialih bahasa atas dasar minat terhadap lagu-lagu berbahasa Hindi. Sejak kecil, lagu irama Bollywood diterima baik di sini, jadi apa salahnya untuk mencuba,” katanya positif.

Tambah Aizat, di permulaan versi original Sampai Ke Hari Tua turut diselitkan elemen Hindustan.

“ Kawan baik saya, Jassi yang berbangsa India banyak membantu dalam menterjemahkan single ini ke bahasa Hindi.

“ Jassi juga individu bertanggungjawab memastikan sebutan dalam nyanyian saya betul. Dia antara orang kuat dalam menghasilkan lagu Sampai Ke Hari Tua versi Hindi,” katanya.

Dalam masa sama, Aizat turut mendapat bantuan Rojer (penyanyi Hindi) dan Ude (pemain sitar) dalam menyiapkan naskah istimewa ini! Wow, bukan biasa-biasa ya projek single kali ini.

Menjadikan Shila Amzah sebagai contoh atas keberaniannya menyanyikan lagu dalam bahasa lain selain bahasa Malaysia, Aizat tidak menolak sekiranya Sampai Ke Hari Tua dirakam dalam bahasa Mandarin pada masa akan datang!

“ Kalau Shila Amzah mampu lakukannya dan berjaya tembusi pasaran antarabangsa, saya pun patut mencubanya. Ayah juga pernah cadangkan saya cuba menyanyi dalam Bahasa Mandarin,” katanya semangat.

SGMS Faida