AJL 37: Meriah! Kali Pertama Bertanding, Iman Troye ‘Puas’ Bawa Satu Kampung Atas Pentas

Finalis Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37), Iman Troye membuka pentas dengan lagu Nang dengan penuh meriah.

Penampilan sulung Iman menerusi Nang menyaksikan dia membawa konsep persembahan klasik dengan belasan penari.

Iman memberitahu dia bersyukur apabila persembahannya itu berjalan lancar seperti yang direncanakan.

“Alhamdulillah semuanya apa yang kita jangkakan dan rancang sebelum ini berjalan baik.

“Ya konsep Nang macam bawa satu ‘kampung’ di pentas. Iman berjaya bawa satu ‘negeri’, saya bawakan juga puteri-puteri, orang dan suasana kampung jadi itu adalah konsep Nang.

“Baju saya juga membawakan watak Puteri Gunung Banang dan berkaki ayam untuk kekalkan keaslian,” jelas Iman ketika ditemui XTRA.

Persembahan Iman itu turut menampilkan pelakon bersiri lagenda kanak-kanak, Hikayat Putera Shazlan, iaitu Fimie Don.

“Fimie membawa karakter sebagai Hikayat Putera Shazlan dan membawa bukunya sendiri untuk menceritakan siapa Puteri Gunung Banang,” kongsinya.

Persembahan Iman menampilkan 12 penari, 6 orang kerdil, 8 orang Dikir Barat, 8 Gamelan bagi membawakan konsep sebenar Puteri Gunung Banang.

AJL 37 didimensikan oleh Alha Alfa Cosmetics sebagai penaja utama bagi menghangatkan acara yang memartabatkan lagu terbaik, tahun ini.

Khairil Khusyairi