AL FATIHAH, PELAKON AZMIL MUSTAPHA MENINGGAL DUNIA

Al-Fatihah buat pelakon lelaki yang pernah menjadi fenomena lewat tahun 80-an, Azmil Mustapha. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Memetik laporan Berita Harian, bintang filem Mekanik itu meninggal dunia akibat sakit jantung.

Allahyarham berusia 65 tahun, meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak.

“Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami. Setakat ini, saya tidak dapat pastikan dengan tepat bila arwah bapa akan dikebumikan,” kata  anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli.

Menurut adik Allahyarham, Aziph Mustapha, jenazah Allahyarham Azmil akan dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam untuk dikafankan dan disembahyangkan.

Arwah difahamkan meninggal dunia ketika sedang tidur dan jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Terdahulu, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga dan  dikurniakan anak perempuan, Shamira menerusi perkahwinan pertama. Azmil juga memiliki empat anak iaitu Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia dalam perkahwinan keduanya.

Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil mula merosot dan pernah dilaporkan kritikal.

SGMS Faida