Categories: HiburanTrending

Alami Alopesia, Elizabeth Tan Enggan Raih Simpati – “Dah 12 Kali Alami Tompokan Botak”

Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan mendedahkan menghadapi masalah alopesia atau keguguran rambut kritikal akibat penyakit autoimun yang dihidapi sejak kecil.

Menurut Elizabeth atau lebih dikenali sebagai Lizzy, dia menghidapi alopesia semenjak 2018.

“Saya alami autoimun sejak berusia setahun yang menyebabkan saya menghadapi masalah kulit.

“Pada 2018, autoimun menjadi penyebab saya mengalami alopesia. Akibatnya saya mengalami tompokan botak di rambut dan kadang-kadang ia merebak menjadi lebih besar.

“Masalah ini tiada penyembuh, jadi saya hanya bergantung kepada krim steroid untuk menghentikan tompokan botak itu merebak. Sehingga kini, sudah 12 kali alopesia terjadi,” katanya.

Lizzy ditemui ketika sidang media Festival Filem Malaysia ke-32 di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Tidak mendedahkan penyakit yang dialami sebelum ini, Lizzy enggan meraih simpati orang ramai.

“Sebelum ini, saya tidak pernah mendedahkan perkara itu kepada orang ramai, terutamanya peminat.

“Setiap kali tompokan botak baru timbul, saya rasa sedih dan tertekan.

“Saya tak mahu orang rasa kasihan dengan penyakit yang saya alami. Tetapi, saya rasa sudah tiba masanya saya beritahu orang mengenai perkara ini.

“Saya pun baru sahaja menolak tawaran untuk membintangi sebuah filem yang memerlukan saya memotong rambut seperti lelaki.

“Saya takut rambut lambat tumbuh dan alopesia kembali menyerang selepas saya memotong rambut,” katanya.

Padin