Altimet Bertanding PRN Selangor, Mahu Berkhidmat Untuk Penduduk Ampang – “Menang Atau Tak…”

Penyanyi rap dan komposer terkenal, Altimet merupakan satu-satunya calon selebriti yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Altimet atau nama sebenar Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata, minatnya terhadap muzik tidak pernah padam apabila masih menulis lagu biarpun sudah lama tidak membuat persembahan.

“Saya telah diberi tugas oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menjadi penyelaras di Lembah selama sembilan bulan sebelum DUN bubar, saya berpeluang mengenali gerak kerja seorang ADUN, mendekati orang di sana, hati saya di Lembah Jaya.

“Saya juga sudah berhenti buat persembahan sejak 2019, saya anggap itu sebagai pekerjaan untuk mencari rezeki, tetapi dari segi minat, saya masih berminat menulis lagu sehingga sekarang,” katanya yang juga Ketua Cabang Ampang.

Dalam pada itu, pelantun lagu Amboi ini tetap mahu memberikan yang terbaik buat masyarakat setempat selaras dengan usahanya.

“Menang atau tidak, itu datang dari Allah SWT, apa yang saya yakin 100 peratus adalah usaha yang keluar daripada badan saya sendiri itu yang saya yakin saya akan pergi lebih daripada 100 peratus.

“Misi dan visi adalah untuk melahirkan satu kawasan mesra untuk pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Sesuai untuk kanak-kanak membesar, ibu bapa mencari rezeki dan menjaga anak-anak serta untuk datuk dan nenek bersara dan menghabiskan masa mereka di Ampang,” ujarnya.

Terdahulu, Altimet pernah mengumumkan dirinya sudah bersara dari nyanyian kerana mahu memberi fokus pada bidang politik.

Sumber: Malaysia Gazette

Khairil Khusyairi