‘Amarah’ Stacy Dapat Perhatian, Taman Tema Bakal Ambil Tindakan

” Terima kasih kerana tampil memberi maklum balas mengenai insiden yang berlaku. Kami kesal dengan pengalaman buruk yang dilalui. Untuk pengetahuan, kami sedang menyiasat perkara ini,” demikian tulis wakil pengurusan Taman Tema Sunway berhubung aduan penyanyi Stacy terhadap dua kakitangan mereka yang memperlekehkan dia dan suaminya, Akim Ahmad, baru-baru ini. 

Sebelum ini, Stacy ada memuat naik sekeping foto dengan kapsyen aduan terhadap dua kakitangan taman tema itu yang didakwa memperlekehkan dia dan suami. 

Menerusi komen yang ditinggalkan di Instagram Stacy, taman tema itu menjawab akan menyiasat perkara berkenaan.

“Pihak pengurusan juga tidak akan menerima sebarang tindakan dan perilaku yang tidak baik. Kami akan mengambil tindakan. Terima kasih,” komen mereka.

Sementara itu, Stacy berterima kasih dengan maklum balas pihak taman tema terbabit.

“Saya mengambil langkah memuat naik perkara ini kerana sebagai pengunjung perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana kami membayar tetapi kami mendapat layanan yang kurang baik daripada kakitangan anda.

“Siapa nak menerima layanan sebegini? Saya berharap ia menjadi pengajaran untuk kedua pihak.

“Wang ringgit yang dikeluarkan adalah untuk datang bergembira bersama keluarga,” tulisnya.

Dalam pada itu, suaminya yang merupakan vokalis kumpulan Akim & Majistret berkata, layanan sebegini sudah biasa dilalui golongan artis.

“ Selalunya saya buat tak tahu je. Hari ini isteri yang sedang urus anak-anak yang tengah meragam terdengar pula suara yang kurang enak.

“ Untuk saya perkara sebegitu sudah biasa dilalui oleh artis. Mungkin ada hikmah benda ini untuk semua pihak termasuklah pengurusan dan apapun pekerjaan.

“Dengan era yang serba canggih dan kita nak melangkah ke tahun 2020, harap semua ada peningkatan dari segi kesopanan dan kesusilaan,” tulisnya. -Harian Metro.

SGMS Faida