Categories: HiburanTrending

Ambil Jalan Pintas, Ayu Puteh Dedah Ada Penerbit Terpaksa Pinjam Along

Penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh mendedahkan ada penerbit terpaksa mengambil jalan pintas meminjam along demi memenuhi tawaran yang diberikan untuk menghasilkan sesuatu karya.

Ayu yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Penerbit Filem Malaysia Malaysia Berhad (Kopelem) berkata, situasi terbabit terjadi kerana masalah serta syarat yang kurang bersesuaian yang dikenakan oleh pihak bank bagi golongan penerbit membuat pinjaman.

“Ada pelbagai situasi yang berlaku ketika dalam proses untuk menghasilkan sesebuah karya. Ada penerbit yang terpaksa pinjam duit dekat Along bila mereka perlu menyiapkan drama mengikut surat tawaran (LO) yang diberikan stesen televisyen.

“Bila LO keluar, pihak penerbit perlu siapkan mengikut masa yang ditetapkan oleh pihak stesen. Ada yang tak cukup modal, jadi mereka menggunakan jalan pintas kerana pihak bank ada banyak syarat yang patut dipenuhi dan ia agak kurang bersesuaian,” katanya.

Ayu ditemui media selepas majlis perasmian Kopelem di Finas, Hulu Klang baru-baru ini.

Menurut penerbit Pencil Pictures & Records ini, perkara ini dapat diatasi oleh penerbit apabila pihak kementerian telah meluluskan kemudahan pinjaman pembiayaan melalui koperasi berkenaan.

Perkara itu diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang merasmikan Kopelem di majlis terbabit.

Terdahulu, Noh turut mengumumkan kementerian memberikan geran sebanyak RM20,000 bagi mengerakkan aktiviti awal koperasi berkenaan.

“Penerbit drama dan filem, anda semua digalakkan menyertai Kopelem. Banyak kemudahan yang ditawarkan, termasuk pinjaman bagi menjayakan projek mereka.

“Jom, sama-sama sertai kami dan jangan pinjam Along. Kita di Kopelem mahu membantu ahli supaya mudah mendapatkan pinjaman tanpa syarat yang mengekang seperti pihak kewangan yang lain.

“Malah dengan koperasi ini juga ahli mendapat banyak peluang termasuk dana yang ditawarkan kerajaan,” kata Ayu lagi.

Ayu yang mewakili semua jawatan kuasa Kopelem menzahirkan kesyukuran apabila usaha selama lima tahun bagi menubuhkan Kopelem akhirnya tercapai.

“Macam-macam proses perlu dilakukan dalam usaha menjadikan Kopelem satu realiti dalam usaha mewujudkan rangkaian bagi memudahkan golongan penerbit di negara ini.

“Kami berharap mendapat sokongan semua pihak dan saya juga berbangga dengan kesemua jawatan kuasa yang dilantik kerana masing-masing mendukung tujuan membantu sesama ahli,” katanya.

Kredit foto: MalaysiaKini

Padin