Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham mendedahkan perubahan terbesarnya selepas bergelar bapa kepada puterinya, Nayla Amanda.

Menurut Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 25, dia merasakan dirinya kini lebih bertanggungjawab dan lebih mengutamakan anaknya dalam segala hal.

“Tanggungjawab. Dulu kita sorang je, bujang. Lepastu, sebelum kahwin kita tiada komitmen yang banyk. Bila dah ada anak ni, kita banyak spend untuk dia seperti beli pakaian dan makan minumnya.

“So, itu saya letak dalam tanggungjawab lah. Bila saya perasan perubahan tu dari segi tanggungjawab dan mengutamakan anak,” katanya.

Pendedahan tersebut telah dikongsinya ketika ditemui di majlis sidang media filem Rasuk, semalam.

Sementara itu, dia turut menyatakan dirinya kini lebih mahir dalam menyusun jadual kerjanya dan masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Penyanyi itu juga mengakui kini setiap perancangannya harus dilakukan lebih awal berbanding sebelum ini agar tidak terlepas mana-mana temujanji yang telah ditetapkan.

“Mula-mula agak kekok. Tapi untuk jaga anak tu tak kekok sebab saya dan isteri saya ada adik kecil. Jadi tak kekok lah.

“Cuma, dari segi jadual tu laa kami kena siap lebih awal berbanding sebelum ini sebab pernah terlepas temujanji sebelum ini.

“Yelah sebab selalu berdua ataupun sorang.  Bila ada anak kecil ni mana nak pujuk dia nangis dan siapkan dia lagi. Jadi saya sedar yang kami kena siap dua jam sebelum pergi ke mana-mana,” jelasnya.

Ayie juga sempat meluahkan rasa bersyukur apabila menerima lebih banyak tawaran bekerja selepas bergelar seorang bapa.

“Alhamdulillah, rezeki melimpah ruah. Saya sangat bersyukur. Kadang-kadang sesetengah orang cakap lepas kahwin dah tak laku. Tapi banyak je rezeki masuk lepas kahwin dan ada anak.

“Saya rasa benda tu Allah dah letak rezeki tu. Saya tak boleh nak kata apa sebab terlalu banyak saya dapat,” katanya.

Ayie bakal tampil dalam filem pertama lakonannya yang berjudul Rasuk, arahan James Lee, pada 29 September ini.

Selain Ayie, filem tersebut juga akan dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Alif Satar, Ikmal Amry, Elisya Sandha, Alicia Amin, Taufiq Hanafi, Raja Atiq, Syazwan Razak dan Abbas Mahmood.

Fatin Nurain