Bakal Diadakan 25 Februari Ini, Pretty Ugly 21 Anniversary Hadiah Buat Peminat

Kugiran psychedelic rock, Pretty Ugly bakal menemui peminatnya di Konsert Pretty Ugly 21 Anniversary pada 25 Februari 2023 di The Paddock PJ, Kelana Jaya.

Konsert ini bertujuan meraikan ulang tahun yang ke-21 Pretty Ugly sepanjang karier mereka di dalam industri dan juga hadiah buat peminat yang sudah lama merindui penampilan kumpulan ini.

Ditanya XTRA berkenaan stamina dan kualiti persembahan yang bakal dipersembahkan, Neves selaku vokalis memberitahu usia bukan penghalang untuk mereka memberikan yang terbaik ketika konsert itu berlangsung nanti.

“Saya rasa Datuk Awie dan Amy Search lagi tua daripada saya, kalau saya tak boleh, saya rasa saya gagallah dalam industri muzik ini.

“Kalau siapa yang tahu saya ni memang aktif dalam sukan dari hiking semua and everything, jadi saya gunakan itu sebagai saya punya persediaan untuk menghadapi konsert itu nanti,” katanya kepada XTRA.

Tambahnya lagi, konsert yang diadakan ini kebanyakannya menggunakan duit poket sendiri kerana tiadanya tajaan dari pihak korporat.

“Untuk tajaan dari korporat memang tiada! Sebenarnya banyak kawan-kawan yang tolong, contohnya pakai dulu bayar kemudian bro, sebenarnya hibalah juga sebab tak sangka yang datang tolong tu dari kawan-kawan,” katanya lagi.

Pretty Ugly ditemui oleh XTRA di sidang media Konsert Pretty Ugly 21 Anniversary di Starbucks Reserve Tropicana Gardens Mall, semalam.

Tiket boleh didapati dengan harga bermula RM90 (early bird), RM110 (normal) dan RM150 (walk-in) adalah berdiri. Manakala RM190 untuk meet & greet (duduk termasuk makanan dan minuman) terhad kepada 30 pax sahaja. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di http://prettyugly.ubertickets.asia/

 

 

 

 

Halimey Zamal