Bapa Dapat Gelaran Datuk, Nabila Huda Harap Pengiktirafan Amy Search Jadi Motivasi

Pelakon Nabila Huda berbangga dengan bapanya, Amy Search selepas menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk setelah lebih 40 tahun menjadi penghiburan dalam industri seni tanah air.

Menurut Nabila, dia berasa sangat gembira selepas menerima perkhabaran tersebut dan bersyukur dengan penganugerahan yang diterima bapanya.

“Buat papaku yang tersayang, sesungguhnya saya begitu gembira apabila menerima perkhabaran ini. Setelah sekian lama masih menyanyi dan menghiburkan peminat, papa menerima sumbangan dalam bidang seni.

“Semestinya sebagai anak, saya berbangga dengan papa yang sentiasa nombor satu di hati saya. Syukur Alhamdulillah di atas penganugerahan ini,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Nabila juga menyatakan harapannya terhadap Amy agar pengiktirafan tersebut dapat dijadikan sebagai motivasi dan inspirasi untuk golongan muda.

“Dalam masa yang sama, saya harap pengiktirafan ini dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada golongan muda di luar sana untuk terus menghasilkan produk dan karya.

“Apa yang penting, saya berharap papa akan terus berkhidmat untuk menghiburkan penggemar muzik tempatan. Jangan lupa misi dan visi yang papa dan juga Search ingin lakukan. Pastikan ia berjaya dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman ,64, menjadi satu-satunya anak seni yang menerima pingat terbabit sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikurniakan Gelaran Datuk, Amy Search Luah Rasa Syukur – “Saya Tetap Amy Search”

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain