Bekas Isteri Radhi OAG Buat Laporan Polis, Bimbang Dipukul Lagi – “Dia Bertindak Kasar Selepas Saya Tak Nak Ambil Gambar Selfie”

Tidak mahu kejadian pukul berulang, bekas isteri kepada penyanyi Radhi OAG, Nur Shahira Ayu Zahiri tampil membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Tegasnya, laporan polis dibuat sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga agar perkara yang sama tidak berulang kembali.

“Ya, memang betul saya buat laporan polis. Saya buat demi keselamatan saya takut benda yang sama berulang lagi. Saya pun tak nak kongsi lebih sebab kes masih dalam siasatan,” katanya.

Menurut Ayu, kejadian berlaku selepas permintaan untuk bergambar selfie ditolaknya dan tanpa diduga Radhi bertindak kasar terhadapnya.

“Seperti dalam laporan, dia bertindak kasar selepas saya tak nak ambil gambar selfie bersama. Kemudian dia tolak badan saya,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya telah menahan seorang penyanyi berusia 45 tahun di kawasan kediamannya di Kota Damansara selepas dipercayai memukul isterinya.

Kejadian berlaku sekitar jam 2.29 petang ketika mangsa mahu mengambil anak lelakinya daripada suspek.

Bagaimanapun, hasil siasatan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (A) Akta Keganasan Rumahtangga 2017.

Salma Syahbuddin