Bekas Kerusi Tempat Duduk Lewis Hamilton Dijual Di Shopee Dengan Harga Hampir RM3,000… Biar Betul?

Baru-baru ini, pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas, Lewis Hamilton telah berada di Kuala Lumpur dan kehadirannya menjadi buah mulut netizen yang meluahkan rasa teruja melihat jejaka tersebut.

Pemandu F1 itu datang ke Malaysia bersama rakan sepasukannya, Georgo Russell atas urusan penggambaran bersama Petronas.

Sementara itu, beberapa foto yang dikongsikan peminat Lewis berkeliaran di media sosial dan salah satu gambar menunjukkan beliau sedang duduk di atas sebuah kerusi plastik.

Meninjau di ruangan Twitter, sebuah ciapan memaparkan tangkapan skrin daripada aplikasi Shopee yang menunjukkan seorang pengguna Shopee telah menjual kerusi bekas tempat duduk Lewis Hamilton dengan harga yang dipercayai sangat melampau.

Kerusi plastik itu berada di dalam senarai jualan di Shopee bertajuk ‘Kerusi Bekas Tempat Duduk Pelumba Dunia F1 Lewis Hamilton (Rare Item)”.

Tambah mengejutkan, kerusi tersebut dijual sangat mahal dengan harga RM2,888.88 oleh pemilik akaun Shopee limabintangautoparts yang bertaraf Preferred dengan penilaian pembeli sebanyak 4.9 bintang. Wow, seriouslah!

Harga di pasaran kerusi tersebut yang boleh digandingkan dengan meja lipat hanya mencecah RM10.

Namun, dalam penerangan barang tersebut dinyatakan kerusi tersebut ada bekas punggung Lewis dan telah dibalut terus selepas beliau bangun, difahamkan untuk mengekalkan kesegararan kesan daripada punggung Lewis. Fanatik betul ni!

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian XTRA, penjualan kerusi tersebut di Shopee tidak dapat disahkan, sama ada ia benar-benar dijual atau hanya sekadar gurauan semata-mata.

Aqilah Paharuzi