Belanja RM3.2 Juta Hadiah Kepada Pelanggan, Pengasas Bulan Bintang Respons Ketiadaan Sharnaaz Ahmad & Beto Kusyairy Dalam Kempen Raya 2024

Pengasas jenama pakaian terkemuka Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi atau lebih dikenali sebagai Meri tampil memberikan respons mengenai situasi sebenar kenapa nama pelakon Sharnaaz Ahmad dan Beto Kusyairy tidak lagi menjadi duta untuk kempen 2024.

Menurutnya, ketiadaan Sharnaaz dan Beto adalah disebabkan mereka sudah menamatkan kontrak dengan jenama Bulan Bintang.

‘Kami masih kawan’

Selain itu, dia juga menolak dakwaan kononnya dirinya dan dua bintang popular itu berselisihan faham adalah tidak benar sama sekali.

“Ketiadaan mereka tahun ini kerana kontrak dah habis. Sejujurnya saya dengan Sharnaaz dan Beto tiada masalah.

“Buktinya semasa majlis kahwin saya pada bulan November lalu mereka datang. Walaupun sudah habis kontrak, mereka tetap menghadiri majlis perkahwinan saya dan kami masih kawan sampai hari ini,” katanya.

Meri berkongsi mengenai perkara itu ketika Majlis Pertunjukan Fesyen The Terrrrpaling Raya Bulan Bintang yang diadakan pada Sabtu.

 

Meskipun sudah mengambil maklum bahawa Sharnaaz dan Beto menjadi duta baju melayu untuk jenama lain yang merupakan pesaing Bulan Bintang, namun dia tidak mempunyai sebarang masalah kerana Sharnaaz dan Beto bebas untuk membuat pilihan.

“Mereka memang bebas untuk ke mana-mana. Saya tiada isu tentang itu. Mereka kerja sangat baik sehingga saya terhutang budi pada mereka. Saya tak boleh lock mereka sampai akhir hayat.

“Mereka ada pilihan dan saya okay. Selepas kontrak mereka tamat, saya dah bersedia tengok mereka berada di jenama lain pula,” jelasnya.

Give back to customer

Mengulas lanjut mengenai Kempen Terrrpaling Raya, adik bongsu kepada pengasas Hausboom, Azri Zahir atau lebih dikenali sebagai John Lemon ini mendedahkan, sebanyak RM11 juta telah dilaburkan untuk kempen 2024.

Bagaimanapun, Meri enggan berkongsi lanjut mengenai target jualan yang diletakkan pada tahun ini.

“Bajet tahun ini secara total sudah RM11 juta digunakan. Bajet nampak besar tapi RM11 juta tak seperti tahun lepas iaitu persembahan drone RM3 juta dan konsert RM2 juta. Ketika itu saya belanja untuk branding.

“Tapi tahun ini, RM3.2 juta sahaja dihabiskan untuk cabutan hadiah diberi kepada pelanggan (give back to customer). Antara hadiahnya seperti Kurta Bulan Bintang, pakej umrah, perodua Myvi, perodua Bezza, Iphone 15, Ipad, Sony Headphone dan banyak lagi,” ulasnya.

Bulan Bintang 2024 menampilkan enam barisan duta iaitu, Shukri Yahaya, Remy Ishak, Nadhir Nasar, Hannah Delisha, Mierul Aiman dan Daiyan Trisha.

Manakala, persembahan artis popular tempatan menghangatkan lagi Bulan Bintang The Terrrpaling Raya Fashion Show dengan nyanyian dan tarian dari Zeppo Youngster Dancer, Aina Abdul dan Kugiran Masdo.

Selain itu, pertunjukkan tersebut juga turut menampilkan koleksi Raya 2024 Ready To Wear (RTW), pakaian bersaiz besar sehingga 5XL, set sedondon keluarga yang terdiri daripada 40 rekaan dengan 70 pilihan warna eksklusif.

Bahkan, Bulan Bintang juga mengumumkan kolaborasi mereka bersama jenama tempatan iaitu Zus Coffee, Hausboom, Origina, Ninja Van, TikTok Shop dan Pemenang 3 Dimensi Animasi Ejen Ali.

Salma Syahbuddin