Belum Fikir Soal Jodoh, Hawa Rizwana Akui Memilih Cari Pasangan & Pernah Dirisik Kenalan Keluarga

Pengacara jelita, Hawa Rizwana mengakui masih belum memikirkan soal jodoh namun berkongsi pernah dirisik oleh kenalan keluarganya.

Namun, dia terpaksa menolak hasrat pihak itu kerana masih terlalu muda dan baru memulakan kerjaya dalam bidang seni serta ingin memberi tumpuan kepada kariernya dahulu.

“Sejujurnya saya belum memikirkan soal jodoh kerana buat masa ini pun saya tiada calon, kalau setakat berkawan memang ramai tetapi untuk dijadikan pasangan saya agak memilih.

“Memang tidak dinafikan, soal jodoh dan teman hiduo perlu ditapis. Kita sendiri ada kekurangan, jadi cari yang boleh lengkapi kita. Kiranya saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Hawa memaklumkan bahawa dia ingin berdikari dan mengharapkan jodoh datang sendiri serta mendapat restu ibu bapa.

“Buat masa ini saya mahu berdikari dulu dan puas tengok dunia. Apapun paling utama biar jodoh itu datang sendiri, selain dapat restu mak ayah.

“Sebenarnya beberapa tahun sebelum ini ada kenalan keluarga pernah bertanya, nak diperkenalkan kepada anak mereka, cuma belum masanya,” kongsi Hawa.

Dalam pada itu, Hawa atau nama sebenarnya Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 27, turut berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), namun bukan dalam masa terdekat.

Malah, baru-baru ini, Hawa berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Komunikasi Massa dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.78 pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-95.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari