Kongsi Perjalanan Perit, Meerqeen Dedah Pernah Bergaduh Dengan Bapa – “Sekarang, Dia Penyokong Utama Saya”

Pelakon Meerqeen, 21, mendedahkan dia pernah mengalami konflik dengan bapa sebelum menjejakkan kaki dalam industri hiburan.

Menurut aktor Melur Untuk Firdaus, pendapat yang tidak sehaluan membuatkan mereka bertikam lidah.

“Perjalanan masuk ke industri susah juga sebenarnya, pada awalnya saya terpaksa menghadapi pelbagai halangan daripada keluarga, terutamanya ayah saya.

“Sejujurnya, dalam pelajaran saya sederhana. Tapi ada satu tahun ni setiap subject saya dapat 4 flat.

“Selama empat tahun, saya pernah pergi uji bakat untuk 10 kali dan kesemuanya ayah saya tahu.

“Cuma kali terakhir saya pergi uji bakat untuk Hero Remaja secara senyap tanpa pengetahuan ayah.

“Satu hari saya dapat panggilan mengatakan saya diterima masuk Hero Remaja dan dalam masa yang sama, saya dapat keputusan bagus dalam pelajaran.

“Saya sampai rumah saya bagi keputusan dan tawaran masuk Hero Remaja kepada ayah saya. Tapi sudah tentu masa tu dia (ayah) akan pilih pelajaran,” jelasnya menerusi sebuah podcast Studio Sembang dihostkan oleh aktres, Amelia Henderson.

Mengulas lebih lanjut, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam berkata sepanjang lima tahun dia cuba mencipta nama ‘M’ dalam industri seni.

“Satu hari ayah datang jumpa saya hari terakhir di kolej. Tanya saya betul ke nak masuk Hero Remaja. Saya cakap dengan yakin saya betul-betul nak sebab peluang sekali seumur hidup.

“Pada masa tu kami bergaduh teruk dihadapan pejabat kolej, lepastu orang semua tengok. Saya cakap dengan ayah saya akan buktikan pada dia.

“Bulan pertama dalam Hero Remaja tak ada sebarang impak sebab masih dalam penggambaran. Sejurus dah ditayangkan, ayah saya akhirnya terbuka mata. “Dia hantar message kapada saya cakap saya buktikan tanggapan dia salah, dan dia sangat berbangga dengan saya.

“Saya cuba lima tahun untuk letak ‘M’ dulu dekat depan.  Sampai hari ini, ayah saya adalah penyokong utama dan penguat saya dalam industri,” jelasnya lagi.

Aqilah Paharuzi